Bahan Kimia Di Kuala Selangor Tak Berbahaya, Tapi Mudah Meletup – Exco Selangor

KUALA SELANGOR – Lebih 200 tong bahan kimia yang terbakar dan meletup di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa, Jeram, Kuala Selangor, kelmarin berpunca daripada sabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan menemui kesan tetakan parang pada 14 tong yang menyebabkan ia bocor sehingga cecair bahan kimia itu mengalir keluar sebelum dibakar.

Beliau berkata, siasatan mendapati ada pihak menceroboh lokasi itu untuk melakukan sabotaj, walaupun pemantauan berkala dilaksanakan agensi berkaitan, dipercayai ekoran isu mengenai penemuan tong tersebut dibuang di situ disiarkan media.

“Memang pada Rabu lepas kami ada terima laporan mengenai penemuan 270 tong berisi bahan kimia dibuang di 2 tempat di lokasi tersebut. Sebanyak 244 tong dibuang di satu tempat dan 26 tong lagi di tempat berikutnya, dalam jarak kira-kira 500m.

“Kita sedang menunggu permit melupuskan bahan itu. Namun, ada pihak ceroboh dan lakukan sabotaj. Sebanyak 14 daripada 244 tong ditetak hingga bocor, sebelum dibakar.

“Bahan kimia itu tidak berbahaya, cuma ia mudah meletup,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di sini, semalam.

Hee tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berlaku disebabkan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang tong tersebut, cuba menghapuskan barang berkenaan.

“Pada Sabtu atau Ahad mungkin mereka datang semula untuk sabotaj dan bakar tong-tong tersebut. Siasatan polis juga menemui sebilah parang pemotong ikan serta satu penyodok di lokasi kejadian.”

Katanya, berdasarkan maklumat penduduk sekitar, ada yang ternampak sebuah lori mengangkut tong itu ke kawasan tersebut, sebelum kejadian dan hasil semakan mendapati kenderaan terbabit disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada tangkapan setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pihak terbabit dalam insiden itu memandangkan tong tersebut tiada label.

Katanya, pemilik tanah persendirian itu yang dihubungi, memaklumkan beliau tidak tahu tanahnya seluas 9 hektar itu menjadi sasaran lokasi pembuangan sisa bahan kimia.

Hee berkata, siasatan awal mendapati semua tong yang dibuang di lokasi kejadian disyaki mengandungi bahan buangan terjadual seperti SW 303, iaitu buangan pelekat atau glu, SW 321 (buangan getah) dan SW 322 (buangan pelarut organik).

Namun katanya, sampel bahan kimia itu masih dianalisis Jabatan Kimia dan laporan penuh mengenainya akan siap dalam masa terdekat.

Beliau turut menyeru penduduk sekitar tidak cemas atau risau apabila terbau bahan kimia itu kerana ia tidak berbahaya dan tidak beracun.

Beliau berkata, ekoran insiden itu, kerajaan Selangor terpaksa membelanjakan hampir RM1 juta untuk proses pembersihan sepenuhnya yang dilaksanakan Kualliti Alam Sdn Bhd dan dijangka mengambil masa 5 hingga 7 hari.

Katanya, lokasi itu kini di bawah pemantauan polis bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan sisa kimia itu masih berpotensi terbakar dan meletup semula, sehingga ia dibersihkan sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!