Tuduh Umat Islam Serang Kuil di FB, Exco DAP Selangor Digesa Buat Permohonan Maaf

SHAH ALAM – Exco DAP Selangor, V Ganabatirau digesa membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam kerana memuat naik status berunsur provokasi di laman sosial Facebook semalam.

Gesaan itu disuarakan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor, Datuk K Deepakaran, merujuk kepada status Ganabatirau yang menuduh sekumpulan orang Islam sebagai penyerang Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, awal pagi Isnin.

“Saya menuntut agar YB Ganabatirau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat khususnya kepada masyarakat Islam/Melayu atas keterlanjuran beliau. 

“Beliau mesti berjanji bahawa tidak akan mengulangi kesilapan dan tidak berlagak sombong terhadap rakyat berbilang bangsa dan agama. 

“Sebagai salah seorang pemimpin kerajaan, YB Ganabatirau mesti bijak ‘menempatkan’ dirinya untuk tidak dilihat berpihak,” katanya dalam satu kenyataan.  

Deepakaran juga berkata, Exco itu sewajarnya mendapatkan maklumat yang sahih terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan, dan bukannya mengikut emosi, apatah lagi ia melibatkan perkara yang sensitif.

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan kerukunan hidup bersama pelbagai bangsa dan agama, saya berpandangan bahawa status YB Ganabatirau itu adalah keterlaluan, lebih-lebih lagi beliau menaikmuat status yang boleh dianggap sebagai provokasi tanpa mendapatkan maklumat dan pandangan pihak ketiga terlebih dahulu. 

“Saya amat yakin, status beliau itu dimuatnaik berdasarkan emosi tanpa sandaran kajian dan konsultasi dengan pihak berwajib lain.  

“Sejak memegang jawatan Exco, sikap yang ditunjukkan oleh beliau kepada umum, banyak menimbulkan tanda tanya dan keresahan termasuk juga berkaitan dengan isu pemberian tanah di Ijok sedikit masa lalu,” katanya lagi. 

Ganabatirau yang juga ADUN Kota Kemuning semalam memuat naik status berbunyi: 

“Serangan sekumpulan muslim menunjukkan terdapat cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian di kalangan kaum yang hidup aman damai selama ini”

Dalam kenyataan itu juga, Ganabatirau bagaimanapun berkata, kekecohan itu adalah berkaitan isu penempatan semula berikutan perebutan antara dua kumpulan dalam pentadbiran kuil.

“Kerajaan Selangor berpendirian bahawa semua pihak mesti mematuhi keputusan yang dibuat oleh mahkamah,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.