Roboh Kuil, Kerajaan Pakatan Harapan Selalu Mungkir Janji, Kata Isham Jalil

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak dan adil terhadap pihak yang terlibat berhubung isu pemindahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata, ini kerana isu hal ehwal tanah yang berkaitan dengan pemindahan hak milik kuil  tersebut kepada pemaju adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sendiri.

“Hakikatnya Kerajaan Negeri Pakatan tidak mahu bertanggungjawab mahupun mengambil risiko. 

“Sebenarnya jika mereka mahu, mereka boleh buat keputusan untuk kekalkan kuil tersebut di situ dan merunding untuk membayar pampasan kepada pemaju. Mereka ada kuasa ini sebab hal ehwal tanah di bawah bidang kuasa mereka. 

“Jika isu tanah Ijok boleh ‘diselesaikan’ oleh mereka di luar mahkamah dengan cara ini, mengapa isu kuil ini tidak boleh?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Isham merujuk kepada isu penyelesaian tanah peneroka di Ijok yang dipertikaikan ketelusannya ekoran timbul isu berbangkit bersabit ‘kaedah’ yang digunakan menteri besar ketika itu Datuk Seri Azmin Ali.

Ujarnya, kerajaan Selangor selalu berbangga dengan menguar-uarkan mereka adalah negeri terkaya di Malaysia dan Kerajaan Negeri banyak duit lebihan. 

Justeru katanya, adalah lebih baik ia digunakan sebaiknya demi keharmonian semua pihak.

“Jika mereka betul-betul ikhlas kepada masyarakat India di Selangor, maka kekalkanlah tapak kuil tersebut di situ dan runding dan bayarlah pampasan kepada pemaju, kerana hubungan keharmonian kaum adalah lebih penting daripada bisnes dan kepentingan pemaju. 

“Atau adakah mungkin mereka berfikir sebaliknya dan melindungi kepentingan pemaju lebih daripada kepentingan masyarakat India seperti apa yang mereka telah buat untuk pemaju mengatasi dan menekan (atau “at the expense of”) orang-orang Melayu di Ijok,”sindirnya.

Dalam pada itu kata Isham, isu pemindahan kuil itu sebenarnya isu lama namun ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Selangor, tidak ada rusuhan sebagaimana yang berlaku hari ini memandangkan kerajaan BN pada ketika itu telah memberikan komitmen untuk mengekalkan tapak kuil tersebut di lokasi asalnya. 

Ujarnya, isu hanya tercetus selepas Kerajaan Pakatan mengambilalih Selangor pada 2008, di mana hak milik tanah kuil tersebut telah diserahkan kepada pemaju dengan persetujuan ‘Kerajaan Negeri Pakatan dan ahli-ahli politik mereka’.

“…hal hakmilik tanah dan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ini adalah satu perkara yang tidak ‘straight forward’ dan mempunyai pelbagai pencanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan, walaupun ianya telah dibawa ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan.

“Namun selepas keputusan dibuat, masih terdapat percanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan terhadap isu sensitif ini,” katanya.

Kata Isham, beliau pada Februari lalu pernah mengatakan bahawa jika BN memerintah Selangor, kuil ini tidak akan diroboh. 

“Ini bukannya soal politik, namun ianya adalah soal janji. BN mempunyai ‘track record’ menunaikan janji. 

“Saya tidak percaya kepada Kerajaan Pakatan ini, mereka selalu mungkir janji. Namun sebaliknya jika masyarakat India masih lagi percaya kepada Kerajaan Pakatan setelah sekian kali ditipu oleh mereka, maka terpulanglah kepada anda,” kata beliau. -SuaraTv 

One thought on “Roboh Kuil, Kerajaan Pakatan Harapan Selalu Mungkir Janji, Kata Isham Jalil

  • November 27, 2018 at 11:09 pm
    Permalink

    Berlembut ada hadnya?? Mungkin polis ada cara tersendiri dalam isu ini?? Tapi sampai cabar undang2 halang penjawat awam bertugas lagi merusuh cederakan …ianya sudah melampau batas ..? Smga polis tetap utuh berani tabah waspada hadapi situasi ini???

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.