PAS Seru Semua Ahli Turun Tolak ICERD Pada 8 Disember Ini

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Parti PAS menyeru semua ahli-ahlinya agar turun padang dan menyokong Perhimpunan Perdana Rakyat Tolak ICERD pada 8 Disember ini.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Haji Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAS PUSAT mengarah dan mengerah seluruh Ahli-ahli dan Penyokong PAS untuk hadir ke program himpunan tersebut pada 8 Disember (Sabtu) bermula dari jam 1 tengahari sehingga 6 petang.

Menurut Takiyuddin, objektif utama himpunan perdana itu adalah bagi menolak ratifikasi ICERD secara total yang bercanggah dengan perlembagaan negara selain bagi menjaga kedudukan agama Islam, Institusi Raja-raja dan hak Orang Melayu.

“Bantahan terhadap sebarang rancangan meratifikasi ICERD dan apa-apa Konvensyen Hak Asasi lain yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan negara

“Bantahan kepada sebarang Ancaman terhadap kedudukan Agama Islam, Institusi Raja-raja, Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu sebagaimana yang dijamin Perlembagaan
Aturcara (Sebagaimana diatur oleh Sekretariat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Himpunan tersebut akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Sekretariat Kedaulatan Negara (DAULAT) dengan menyenaraikan empat kawasan sebagai tempat berhimpun utama sebelum perhimpunan bermula; Masjid Negara, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid IPD Dang Wangi dan pusat membeli-belah Sogo.

Ia dijangka disertai oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Awang Hadi; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin-pemimpin NGO Utama dan pimpinan masyarakat pelbagai kaum.

Isu ICERD menjadi kritikal selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy membangkitkan isu perkauman yang tidak adil di negara ini selain mahu meratifikasikan ICERD yang sekali gus membangkitkan kemarahan orang ramai terutamanya kaum Melayu. – Suara.TV

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.