Minta Maaf, Letak Jawatan Atau Biar Kemarahan Lebih Marak, Nik Abduh Tempelak Exco DAP Selangor

SHAH ALAM –  Exco DAP Selangor, V Ganabatirau patut mengambil tanggungjawab penuh di atas keterlanjurannya memuat naik status berunsur provokasi di laman sosial Facebook semalam, kata bekas Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz.

Ujar Nik Abduh, Ganabatirau boleh memilih antara dua sama ada mengemukakan permohonan maaf ataupun meletakkan jawatan sebagai exco negeri. 

Ahli Parlimen Bachok itu mengambil contoh bagaimana seorang Exco AMANAH di Perak yang mengambil tanggungjawab dengan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak ekoran tindakannya bergambar dengan trofi Piala Malaysia dalam keadaan tidak sepatutnya.

“Ada exco Kerajaan Negeri letak jawatan daripada Persatuan Bola kerana perbuatan tak senonohnya terhadap Piala Malaysia walaupun dengan alasan terlalu teruja. Ia tindakan bertanggung jawab dan terpuji.

“Jadi, untuk exco Selangor tersebut, minta maaf, atau letak jawatan. Dua pilihan. Satu mudah, satu lagi berani. Pilihan ketiga adalah biarkan sahaja kemarahan itu menjalar dan marak. Begitu?,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, semalam Ganabatirau menulis di Facebook beliau dengan mendakwa sekumpulan orang Islam menyerang Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, awal pagi Isnin, hingga mencetuskan kekecohan.

Tidak lama kemudian, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kenyataan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu mungkin terdapat kesalahan tatabahasa.

Kenyataan itu akhirnya sudah diubah selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bagaimanapun tegas Nik Abduh, Amirudin  sepatutnya menegur exco berkenaan, bukannya ‘menyebelahi’ beliau dan menyatakan ia adalah kesalahan tatabahasa.

“Pastinya niat YAB Menteri Besar Selangor nak bantu sejukkan. Ia baik. Tetapi, hujah ‘salah tatabahasa’ tu menambah panas. Ia memperlekeh sensitiviti umat Islam. 

“Bagi saya, tegur saja exco tu secara baik. Ia mencukupi untuk pertahan dan jaga hati rakan dalam Pakatan, walaupun masih tidak cukup untuk negara,” kata anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.