Khalid Ibrahim Kecewa Dengan MB Selangor, Usaha Beliau Selama Ini Jadi Sia-Sia

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2019 negeri itu baru-baru ini.

Kekecewaannya bukan sekadar tentang air percuma yang tidak lagi akan dirasai oleh seluruh rakyat negeri itu bahkan berkenaan kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 billion kepada syarikat pemegang konsesi di dalam proses penstrukturan industri air.

 “Tidak dinafikan saya kecewa dengan pengumuman kerajaan negeri di dalam Budget 2019 bahawa program pemberian air percuma kepada seluruh rakyat negeri Selangor akan ditamatkan namun ianya tidak mengejutkan. 

“Ini adalah kerana apabila kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 billion kepada syarikat pemegang konsesi di dalam proses penstrukturan industri air saya sememangnya telah menjangkakan kenaikan bayaran melebihi 10 kali ganda dari tawaran yang saya lakukan dahulu akan memberi beban yang besar kepada kerajaan negeri,”katanya menerusi hantaran di Facebook.

Khalid selain itu menyifatkan, usahanya sebelum ini untuk memastikan bayaran konsesi penstrukturan air sepatutnya dibayar dengan nilai yang bernas hanya sia-sia.

Ujarnya kegagalan kerajaan negeri itu untuk mendapatkan jumlah terbaik untuk rakyat Selangor telah menjadikan kos operasi industri air sangat tinggi dan kerajaan tidak lagi mampu memberi kemudahan air percuma kepada rakyat Selangor. 

“Nampaknya segala usaha yang dilakukan oleh pasukan saya sepanjang pentadbiran saya dalam memastikan bayaran yg berpatutan dibayar kpd pemegang konsesi menjadi sia-sia. Usaha, komen serta amaran yang kami berikan tidak diambil perhatian malah dihina semata-mata bagi mempertahankan niat kerajaan negeri untuk membayar lebih kepada syarikat konsesi,” tambahnya. 

Mengulas lanjut Khalid berkata kesan kepada penurunan rizab negeri akhirnya terpaksa dibebankan kepada rakyat dan reformasi tidak seiring dengan tindakan Pakatan Harapan.

“Rezab negeri kian terhakis dan rakyat pula membayar lebihan kos untuk tempoh 20 tahun lamanya.

“Ini kerana kos yang tinggi diperlukan dalam membina program komputer yang akan mengasingkan kategori pengguna; kategori pemilik dan penyewa serta kos menyelenggara bil-bil yang dikeluarkan. Belum lagi masa yang akan diambil untuk mengawalselia dalam memastikan hanya kumpulan B40 sahaja yang menerima faedah dari skim air percuma ini.  

Selain peringkat negeri itu di peringkat nasional pula Khalid berkata alasan untuk tidak menamatkan penswastaan kutipan tol merana melibatkan kos yang tinggi sangat mendukacitakan dan mencurigakan apabila perbincangan yang tidak mencapai matlamat demi kebaikan.

“Nampaknya seperti ada yang tidak kena dengan ketetapan minda mereka ketika mengadakan perbincangan untuk menentukan harga dan jumlah pampasan. Ketiadaan ketetapan minda yang jelas terhadap sesuatu matlamat serta iltizam politik merupakan penghalang terbesar dalam melaksanakan reformasi seperti yang dilaungkan. Maka tidak hairanlah apabila awal-awal lagi Menteri memperlekeh hasrat rakyat dan meminta agar rakyat terus bermimpi untuk mendapat tol percuma meskipun ianya termaktub di dalam Manifesto mereka,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.