Kerajaan Timbang Naikkan Kadar Tambang Bas Ekspress

KEMENTERIAN Pengangkutan mempertimbangkan kenaikan kadar tambang bas ekspres dalam antara 10 sehingga 30 peratus.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus.

“Kenaikan daripada 6.5 sen kepada 8.5 sen sekilometer selain surcaj 0.8 sen sekilometer dikenakan sejak 2015, menjadikan keseluruhan kenaikan adalah 9.3 sen sehingga hari ini.

“Kementerian menimbangkan kenaikan tambang yang munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna.

“Kita akan utarakan syor kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk C Sivarraajh (BN MIC-Cameron Highlands) berhubung kenaikan tambang bas disebabkan kos operasi yang tinggi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Kamarudin berkata, kenaikan kadar tambang dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan bas ekspres, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

“Gaji pemandu agak rendah, kurang RM3,000 jika dicampur gaji pokok dan elaun.

“Waktu bekerja melebihi lapan jam juga menyebabkan mutu pengendalian bas menurun,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH PKR-Kapar) berhubung langkah kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan bas. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.