Jangan Ganggu Atlet Dengan Isu Pakaian Sukan Patuh Syariah – Syed Saddiq

PETALING JAYA – Jangan ganggu atlet dan hormati pilihan pakaian sukan mereka, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menteri tersebut mempertahankan atlet selepas kenyataan tentang ahli sukan Terengganu harus memakai pakaian patuh syariah mulai 2019 dikeluarkan oleh kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS.

“Sila hormati pilihan wira dan wirawati kita. Jangan ganggu mereka.

“Saya akan mempertahankan mereka tanpa mengira pakaian mereka. Saya di sini kerana mereka,” tulis beliau di halaman Facebook pada Isnin.

Menentukan pakaian yang harus dikenakan oleh para atlet adalah perkara membimbangkan kerana masa depan sukan seperti gimnastik, renang, dan bina badan akan terjejas, kata menteri itu.

Kata Syed Saddiq, ia adalah antara sukan yang diungguli oleh Malaysia memandangkan negara sudah meraih pelbagai pingat dalam acara sukan antarabangsa seperti Komanwel, Sukan Olimpik, Asia dan Sukan SEA.

“Sukan adalah untuk semua dan atlet kita ialah wira dan wirawati negara.

“Beberapa atlet telah menghubungi saya secara peribadi mengenai isu ini.

“Saya bertanggungjawab untuk mempertahankan mereka kerana mereka adalah aset negara.

“Terdapat ramai atlet Muslim yang menyumbang pingat kepada negara termasuk Farah Ann Hadi (gimnastik), Nur Dhabitah Sabri (renang) dan Sazali Samad (bina badan),” katanya.

Syed Saddiq berkata, pelumba basikal profesional Azizulhasni Awang yang menjadi juara dunia terkenal dan berasal dari Terengganu juga telah mencapai pengiktirafan antarabangsa tanpa mengira pilihan pakaian yang dikenakannya.

Pada Ahad, Bernama melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah itu adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri meletakkan Islam sebagai tonggak pentadbiran utama, termasuk sukan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, semua pemain bola sepak beragama Islam di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dikehendaki memakai pakaian patuh syariah dalam semua kejohanan, sama ada di dalam atau di luar negeri. – The Star

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.