Hormati Hak Beragama, Pihak Pemaju Perlu Jaga Sensitiviti, Kata Presiden PAS

SHAH ALAM – Susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya yang masih belum reda, PAS menyeru semua pihak agar bertenang dan memahami isu sebenar di sebalik insiden tersebut serta tidak mencetuskan sentimen agama dan perkauman yang tidak sihat di kalangan masyarakat awam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, masyarakat perlu mengutamakan perpaduan dan keharmonian dengan menghormati hak beragama masing-masing mengikut lunas undang-undang. 

“Pihak pemaju perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama.

“Sebarang unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti di kalangan rakyat perlu ditangani dengan pantas oleh pihak berwajib, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang telah dipilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi juga berkata, PAS berkeyakinan bahawa pihak PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor mampu menangani isu ini dengan baik mengikut lunas undang-undang, demi mengembalikan ketenteraman awam di lokasi terbabit dan juga di seluruh negara amnya. 

“PAS menyarankan agar semua pihak yang terlibat dapat duduk semeja bagi meredakan keadaan dalam tempoh segera,”katanya lagi. 

Kekecohan di kuil itu yang tercetus awal pagi Isnin lalu adalah berkaitan isu penempatan semula berikutan perebutan antara dua kumpulan dalam pentadbiran kuil.

Sehingga kini seramai 16 individu termasuk tiga pekerja syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City)  ditahan untuk membantu siasatan.

Kesemua mereka direman antara dua hingga lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap semua suspek.

Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK), iaitu melakukan khianat dengan api, Seksyen 148 KK (merusuh), Seksyen 427 KK (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah). -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.