Bomba Diserang Perusuh, Presiden Malaysia Hindu Sangam Luah Rasa Kecewa, Malu

SHAH ALAM – Tindakan ganas perusuh yang menyerang anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam rusuhan di Kuil Maha Mariamman, USJ 25, awal pagi ini benar-benar m melampau dan melangkaui batasan.

Meluahkan rasa kesal dan kecewa, Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk R.S. Mohan Shan bertegas agar pihak polis segera menangkap dalang di sebalik kejadian tersebut. 

“Bomba datang untuk memberikan bantuan, kenapa mereka (perusuh) serang dia. Lihat apa yang berlaku, orang yang mahu memberikan bantuan dicederakan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Saya kecewa dan malu dengan kejadian tersebut. Semoga pihak polis dapat mencari dalang di sebalik kejadian ini,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim, diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar. 

Muhammad Adib, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul beramai-beramai.

Akibat serangan tersebut, pemuda itu mengalami kecederaan parah dengan patah tulang rusuk dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Keadaannya kini dilaporkan kritikal kerana terpaksa menggunakan sistem pernafasan sokongan.

Pada ketika ini, berita mengenainya tular dengan rata-rata netizen berkongsi gambarnya di laman sosial dengan tanda pagar #DoaForMuhammadAdib.

Muhammad Adib yang berasal dari Kedah dan sudah tiga tahun berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir Disember ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.