Syura Risau Ada Yang Dengki

Di sebalik harapan besar untuk karier nyanyiannya menyerlah seperti dulu, ternyata bukan laluan mudah buat penyanyi Syura Badron, 30. Selain perlu berdepan saingan sengit bersama peserta dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4), Syura juga terpalit cerita peribadinya.

Baru-baru ini, dia dihimpit lagi masalah peribadi dengan bekas suaminya. Cerita tular menerusi Internet mengenai luahan kecewa bekas suami anak jati Johor ini, diakui menjejaskan reputasinya.

Pemilik nama sebenar, Zuraidah Badron ini memberitahu dia terkejut sebaik mengetahui perkara itu.

Katanya, permasalahan dia dan bekas suami sudah lama diselesaikan dan tidak perlu dibangkitkan.

“Kami bercerai pun sudah lama dan tidak sepatutnya diungkitkan lagi.

“Saya sangat terkejut dan menghubungi bekas suami untuk mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya.

Enggan berbicara lanjut mengenai perkara itu, Syura berkata, baginya ia cerita lama yang cuba dihangatkan semula.

“Biasalah, saya kini bersaing dalam GV4. Jadi, cerita berbaur hal peribadi sebegini pasti jadi perhatian ramai.

“Apapun, bekas suami sudah memberitahu itu kenyataan lama yang disiar semula,” katanya.

Menurut Syura, dia bukan orang yang suka menagih simpati. Jadi, katanya, perkara itu akan menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat.

“Saya tidak mahu dianggap sengaja menjaja cerita peribadi untuk dikenali semula. Tujuan saya menyertai GV4 sebagai platform menyerlahkan semula bakat dan sebagai peluang kedua untuk membina nama,” katanya.

Menurut ibu tunggal tiga anak ini, sebagai wanita matang dia enggan kisah peribadinya disensasikan.

“Banyak hati yang perlu dijaga terutama anak saya. Jadi, saya mahu biarlah bakat yang lebih diberi perhatian.

“Oleh itu, saya berusaha gigih dan menyahut cabaran membuat persembahan terbaik setiap minggu pada GV4,” katanya.

Berbicara mengenai dirinya yang dikaitkan dengan pelawak dan pelakon baru, Fikry Ibrahim, kata Syura, ia hanyagimik untuk program terbabit.

“Saya tidak kenal rapat dengan Fikry. Cuma, saya tahu dia bintang baru dalam industri hiburan tanah air.

“Buat masa ini, saya selesa menjalani kehidupan bersama anak dan belum terfikir untuk berkahwin lagi,” katanya.

Hasil perkongsian hidup bersama bekas suaminya, Syura dikurniakan tiga anak iaitu Nurul Dania Irdani, 10; Nurul Qaisara Sofia, 8 dan Muhammad Irfan Aryan, 6.

Sementara itu, bagi cabaran tugasan GV4 untuk minggu kelima dengan tema ‘Kaum Kerabat’, Syura akan menyampaikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah yang pernah didendangkan ratu rock tanah air, Ella.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.