Syafie Minta Maaf Selepas Seret Mia

Daripada bergelar anak dara hingga bertukar status kepada isteri penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi, Mia Ahmad seakan-akan tidak kalis pertanyaan.

Pelakon berusia 29 tahun itu baru sahaja mengulas isu video mencium pipi suaminya yang menjadi tular baru-baru ini. Terkini, kena pula menjawab isu diseret pelakon Shafie Naswip hingga memaksa lelaki itu membuat permohonan maaf kepadanya.

“Perkara itu memang terjadi (diseret Syafie) tetapi bukanlah di dunia nyata, sebaliknya ia berlaku menerusi satu babak di dalam filem terbaharu lakonan kami,” ujarnya sambil tertawa manja.

Melakonkan karakter yang diberi, bagi Mia, dia sentiasa mencari variasi dan keberanian agar tidak menyuakan kepada penonton dengan pembawaan watak yang sama.

Dia dituntut untuk menjayakan karakter sebagai Zamiah, anak kepada Tok Ngah Sudin yang dibenci Kadir, lakonan Syafie kerana perbuatan ayahnya yang suka menganiaya adik lembam lelaki itu, Jibam hingga kanak-kanak itu meninggal dunia.

“Ada satu babak itu yang mana Syafie menarik tengkuk saya. Dia risau juga ingin melakukan babak tersebut tetapi saya katakan kepadanya buat sahaja.

“Memang penonton akan nampak ia menyakitkan, namun sejujurnya saya tidak berasa sakit seperti yang dilihat. Ini kerana, Syafie seorang pelakon yang profesional dan dia tahu teknik untuk melakukannya. Selepas menjayakan babak tersebut dia cepat-cepat meminta maaf,” ujarnya mengenai filem Jibam yang turut dibintangi oleh Mohd. Ariff Abdullah (Buntat), Bohari Ibrahim, Esma Daniel, Kazar Saisi dan Fadlan Hazim itu.

Selain berkongsi mengenai filem yang bakal ditayangkan pada 7 Disember ini, pelakon yang terkenal menerusi drama Hati Perempuan itu turut disingkap mengenai cahaya mata selepas 10 bulan berkahwin dengan penjaga gol handalan itu.

“Sudah tentu saya dan suami menginginkan anak, cuma tiada rezeki lagi. Alhamdulillah, famili tidak memberi tekanan sebaliknya orang luar pula yang risau dan bertanya kenapa masih belum mengandung lagi,” jelasnya.

Sengaja mengusiknya dengan soalan nakal, sama ada dia gentar sekiranya suami dipikat wanita lain sementelahan pemain bola sepak sering menjadi dambaan wanita, ini jawapan Mia.

“Pada pendapat saya, lelaki dengan apa jua profil sekali pun kalau dia nak buat hal, dia akan buat. Bagaimanapun, sejujurnya saya tidak takut andai suami dipikat wanita lain,” ujarnya sambil melentur tawa di bibir.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.