Single Tiga Benua

Pertemuan dalam program Layar Tanchap, Shah Alam 11 tahun lalu membawa makna tersendiri buat Najwa Mahaddin dan Imran Ajmain.

Daripada situ Najwa yang dikenali menerusi lagu Got To Go, manakala Imran menerusi lagu Seribu Tahun berjanji untuk berduet satu hari nanti.

Bagaimanapun, bukan mudah mengotakan janji itu kerana kedua-duanya sibuk dengan komitmen masing-masing.

Najwa menyambung pengajiannya dalam bidang muzik di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat, sementara Imran pula berkelana ke Amsterdam, Belanda.

Bagaimanapun, sudah rezeki mereka, akhirnya impian itu dapat direalisasikan menerusi single Sentiasa Merinding.

Single genre R&B Pop dengan elemen Melayu klasik itu adalah kerjasama Imran yang mewakili SukaSucre Creatives dan Najwa (Nada Biru Muzik Sdn Bhd).

Ditemui pada sidang media baru-baru ini, Imran berkata, penghasilan single Sentiasa Merinding boleh dianggap kerjasama tiga benua.

“Kami rakam lagu padaawal tahun ini bersama Faiz Rosli di studio yang berlainan dengan durasi satu hingga dua jam sahaja.

“Secara lahiriahnya, melodi dan lirik single ini dilakukan sama rata di antara saya yang berada di Belanda, Najwa (Amerika Syarikat) dan seorang lagi rakan, Az Avex Azman atau Avex yang menetap di Australia,” katanya.

Merinding bermaksud meremang yang digambarkan dalam satu hubungan baik antara kekasih, keluarga dan rakan dalam memupuk elemen kasih sayang.

Imran berkata, lagu ini sudah disiapkan sekitar satu setengah tahun lalu namun pelancaran lewat dilakukan kerana berdepan beberapa masalah berkaitan pengedaran lagu.

“Saya terpaksa berdepan kerenah syarikat rakaman yang menetapkan beberapa syarat yang tidak masuk akal.

“Bahkan, ada yang nak melihat hasil tontonan YouTube kami mencecah jumlah yang banyak terlebih dahulu, sebelum bersetuju mengedar single ini. Akhirnya kami ambil keputusan memasarkan single ini dengan bantuan jentera promosi SukaSucre,” katanya.

Najwa pula tidak menjadikan isu dirinya kurang dikenali daripada berhenti menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.

“Saya tak boleh mudah putus asa dan sentiasa berpegang dengan prinsip.

Sejak kenal Imran, dia banyak membantu serta memberikan tunjuk ajar untuk menulis lirik dalam bahasa kebangsaan.

“Saya amat gembira dengan kerjasama menerusi Sentiasa Merinding. Ia menjadi pemangkin untuk kami menghasilkan kerjasama lain pada masa akan datang,” katanya yang dikenali dengan lagu jazz.

Video muzik Sentiasa Merinding turut dihasilkan bertemakan hitam putih arahan Zul Luey dari Luey Motion Lab.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.