Shiha Semakin Gelisah

LAPAN tahun menyulam cinta dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Arul, Shiha Zikir tidak menolak dirinya sudah penat untuk menjawab pertanyaan lazim bilakah dia benar-benar bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya bersama lelaki yang dicintainya itu.

Genap berusia 30 tahun pada 2 November lalu juga menyaksikan Shiha terperangkap dengan keadaan itu yang mana bagi mana-mana perempuan sekali pun, ia adalah angka bersifat bom jangka yang mampu mengheret penyanyi ini untuk segera menekan butang panik.

Shiha tahu, sebagai manusia biasa, dia cuma mampu merancang dan selebihnya meletakkan ia sebagai urusan dan ketentuan Tuhan.

Belum punya petanda untuk berkahwin, wanita kelahiran Pulau Pinang ini tidak mengambil pusing dengan cakap-cakap orang meski sedar ada yang menuduh dia sengaja berlengah-lengah untuk bernikah sementelah mata kini sudah dikaburi dengan kehidupan mewah, mengejar duit dek kerana populariti yang diraih kini.

Bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang sangat penyabar dan memahami, Shiha mengaku tidak terburu-buru untuk menamatkan zaman bujang kerana Arul memintanya untuk fokus dengan kerjayanya yang kini sedang bergerak rancak.

“Dia adalah insan terdekat yang tahu apa saya buat. Saya lega dia bertimbang rasa mahu saya kecapi kejayaan dulu sebelum berumah tangga. Bukannya kami tak nak kahwin, tapi masing-masing tahu tak perlu terburu-buru,”katanya.

Bohonglah kalau dia tidak pernah terasa hati dengan kata-kata orang, Shiha bagaimanapun bersyukur kerana Arul baginya adalah cinta sejati yang membangunkan, bukan menjatuhkan.

Kehilangan ayah yang meninggal dunia sejak 10 tahun lalu kerana serangan jantung, Shiha melihat kehadiran Arul banyak mengingatkan dirinya kepada sosok lelaki paling penting dalam hidupnya itu.

“Saya menyanyi pun kerana abah yang banyak bagi sokongan. Sejak arwah tiada, Arul saya lihat banyak menyerupainya terutama dari segi cara berfikir dan pendiriannya.

“Beruntungnya saya kerana Arul faham apa yang saya buat dan dia tidak cemburu buta. Ada pasangan yang menyekat kehendak tanpa sebab dan saya akui, mulanya dia pernah cemburu. Tapi lama-kelamaan, dia faham dan memberi lebih sokongan kerana mahu lihat saya terus mara dalam industri.

“Bagi saya, susah nak dapat lelaki Melayu begini, nak buat kerja pun hati rasa tenang sebab masing-masing tahu diri,” tambahnya.

Bukan cara saya

Shiha tidak menolak, meski ramai tahu hatinya sudah dimiliki, dia mengaku pernah diganggu golongan lelaki bermisai kucing, cuba mendekati, menggodanya dengan ‘menjual’ status dan harta kemewahan dunia.

Sedikit pun tidak termakan dengan pujuk rayu golongan kenamaan (VIP) itu, Shiha tahu, duit dan kemewahan bukanlah segala-galanya sehingga dia perlu tunduk kepada kehendak yang merapu.

“Pelik juga, bukannya saya sorok teman lelaki, rata-rata mereka tahu saya sudah ada kekasih, tetapi masih mahu mencuba. Kalau fikir mahu hidup senang dengan cara begitu, ditaja ditabur duit dengan mudah, rasanya saya tak perlu bekerja keras pun tak apa.

“Tapi untuk apa semua penghinaan itu? Saya lebih rela berusaha atas titik peluh sendiri. Pernah saya cakap pada golongan VIP itu, letaklah duit tinggi saya sekali pun di depan mata,tetap saya tak mahu.

“Marah betul mereka bila saya tak layan. Mereka harus tahu, tak semua wanita boleh dibeli dengan cara begitu. Saya masih tahu menjaga batas dan maruah sebagai seorang wanita dan anak,”katanya.

Konservatif

Tidak terasa hati apabila diandaikan bahawa dia seorang yang agak konservatif, ternyata Shiha senang untuk tidak mencari publisiti murahan dengan kontroversi mengarut semata-mata mahu meraih populariti.

Kata wanita ini, dia mahu menjadi seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, mentornya yang sebelum ini sempat mencurahkan ilmu dan didikan sebagai anak seni sebelum meninggal dunia hampir tiga tahun lalu.

Definisi konservatif itu sendiri bagi Shiha, bukanlah merujuk kepada erti kata kuno, tetapi lebih kepada pemba­waan dirinya sebagai orang seni mengikut cara orang lama.

“Saya nak jadi macam arwah Kak Pah. Dengar macam klise, tetapi ini adalah kebenarannya. Saya begitu sanjung tinggi kepada arwah dari dulu dan lihat bagaimana cara dia membawa dirinya dalam industri.

“Mungkin ramai tak tahu saya tak pernah jejak kelab malam, tak merokok atau menikmati kehidupan sosial sebagaimana orang lain. Ada kawan yang baru kenal, terkejut bila dapat tahu sebab mereka fikir saya bersosial sedangkan tidak.

“Biarlah orang kata saya ni macam orang lama, saya lebih gembira begitu. Pernah juga saya dimarahi oleh Kak Pah kerana pergi kedai mamak. Dia tak mahu saya melepak tak tentu hala dan buang masa. Bayangkan, pergi kedai mamak pun kena marah, begitu sekali dia mahu menjaga saya,” kenangnya lagi.

Dalam pada itu, Shiha juga mengaku agak konservatif dalam bab berkawan dan lebih senang membiarkan kelompok persahabatannya dalam skala kecil.

Ini kerana baginya, cukupkah pernah ‘terkena’ dahulu dan ia mengajar dirinya untuk tidak mudah percaya pada orang lain kecuali keluarga dan orang terdekat.

“Orang kata saya ni macam tak berkawan, salah. Saya suka berkawan tapi agak memilih, hanya mahu berkawan dengan orang yang jujur. Tak dinafikan dalam industri ni macam-macam orang kita akan jumpa. Di depan lain, belakang lain..

“Tapi kita tak tahu sejauh mana orang tu ikhlas dan jujur. Jadi untuk mengelak sebarang perkara tak diingini berlaku di masa depan, saya mengambil konsep berhati-hatilah dalam bersahabat, sekali gus boleh mengelak kontroversi.

“Nak cakap belakang pasal saya, terpulanglah.. yang penting saya tak sombong dan tetap akan bertegur sapa dengan semua orang bila berjumpa, terutama artis-artis senior,” katanya.

Rezeki airish london

Dalam perkembangan lain, Shiha yang dilantik sebagai duta produk berjenama Airish London melahirkan rasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab itu.

Mengikat kontrak selama setahun, ia merupakan kali kedua Shiha memegang gelaran duta produk kecantikan.

Mengaku amat berhati-hati dan cerewet, dia berpegang pada prinsip, andai produk itu tidak bagus, tawarlah seberapa banyak wang sekali pun, tetap dia tidak akan mudah terpengaruh.

Bagi Shiha, mungkin ada artis di luar sana yang tidak kisah mengenai kualiti produk yang dipromosi, namun tidak buat dirinya kerana tahu, bukan mudah untuk meraih kepercayaan pengguna dan pembeli sementelah terlalu banyak lambakan produk kecantikan di pasaran.

“Saya cerewet, bukan setakat untuk menerima tawaran jadi duta, walau untuk buat promosi produk di media sosial sekali pun, saya tak mudah terima tawaran.

“Saya bukan jenis senang terima tawaran hanya kerana ada pihak meletakkan harga yang tinggi sebagai bayaran. Harus ingat, tidak semua perkara adalah duit semata-mata.

“Boleh tengok sendiri di Instagram saya, tak banyak produk yang saya promosikan melainkan memang saya adalah penggunanya. Sama macam rangkaian produk Airish London ini, sudah lama saya gunakan dan ia memang berkualiti.

“Tak berani saya nak menipu orang dan anda harus tahu, tugas dan tanggungjawab jadi duta ni bukan nak berseronok sahaja, ia satu tanggungjawab yang besar. Tawaran Airish London tidak mampu saya tolak sebab kehebatan produknya terbukti,” ujarnya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.