Shaheizy Sam Utama Kepuasan Demi Kualiti Masa Depan

NAMA figura ini tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni Malaysia. Berilah apa saja peranan, jarang sekali dia menghampakan produksi dan peminatnya.

Malah, pelakon berusia 35 tahun ini juga antara aktor yang dikategorikan sebagai pelakon method.

Biarpun tidak mengakui secara terbuka namun aktor yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25 ini tidak menafikan dia mengutamakan kepuasan dan kesempurnaan dalam kerjayanya.

Pemilik nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad ini juga rela melalui kesukaran bagi menyempurnakan kerjanya.

“Tanyalah orang yang rapat dengan saya, mereka tahu bagaimana saya serius bekerja. Kalau di luar set saya boleh bergurau. Tapi bila melibatkan kerja, saya akan buat apa saja asalkan puas hati dengan hasilnya.

“Bukan itu saja, saya juga pentingkan kualiti. Bayangkan kalau saya tak ada nanti, orang yang menonton lakonan saya akan puas,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan filem televisyen (FTV), Baby Bro arahan Ghaz Abu Bakar.

Sam sebelum ini dilihat tampil lebih kurus demi menjayakan peranannya sebagai Naufal, penghidap kanser kritikal dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Jelas Sam, demi memastikan benar-benar kelihatan sebagai pesakit kanser, dia mengamalkan diet ketat untuk menurunkan berat badan dalam tempoh sebulan setengah.

“Kalau ikutkan, memang tak puas hati lagi. Sebab tak dapat masa yang cukup. Ikutkan nak turun seperti Christian Bale dalam filem The Machinist.

“Tapi Bale turun dalam masa empat bulan dan saya hanya ada masa kurang dua bulan. Saya turun 8 kilogram. Untuk turunkan sebanyak itu, saya hanya makan salad dan buah sekali sehari. Kemudian saya akan pastikan berlari setiap hari untuk buang lemak dan otot.

“Kebetulan ketika itu saya baru saja selesai penggambaran Polis Evo jadi badan agak kekar dan saya terpaksa berpuas hati dengan hasil yang saya dapat,” jelasnya.

Sam bagaimanapun tidak menggalakkan orang lain mencontohinya dan mengakui ia bukan cara sihat untuk menurunkan berat badan.

Malah pelakon ini percaya pakar pemakanan pun tidak akan bersetuju dengan caranya.

Kata Sam, menerusi pembacaannya mengenai diet Bale, pelakon itu boleh kehilangan nyawa jika diteruskan dalam tempoh sebulan lagi.

“Jadi bila saya tak dapat buat atau capai apa yang saya mahu. Saya pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Bercerita penglibatannya dalam Baby Bro , Sam berkata, biarpun ia sebuah komedi ringan, namun dia tidak pernah memandang ringan perkara itu.

“Siapa kata berlakon komedi itu mudah? Bila kita berlakon dengan profesional comedian macam Zizan, kalau kita try too hard, gandingan itu akan nampak entah apa-apa,” ujarnya.

Ditanya adakah dia terkesan dengan komen peminat yang tidak setuju dia menurun dan menaikkan berat badan, Sam berpendapat, peminat boleh berfikir secara matang.

“Saya baca juga komen peminat. Kalau elok saya jadikan pedoman. Yang mengutuk saya abaikan,” katanya.

Sam kini sibuk menjalani penggambaran sekuel Polis Evo 2 di Pahang sejak awal Oktober lalu dan percaya filem itu mampu mengharumkan nama Malaysia di persada seni Asia.

“Kalau nak bandingkan dengan karya Hollywood masih jauh dan dibandingkan dengan kos pembikinan. Tapi untuk taraf Asia, saya rasa kita tak malu untuk bawa Polis Evo 2 keluar ,” ujarnya.

Anak buka pandangan Sam

Bercerita pengalamannya selepas Syeriv Samheizy dilahirkan enam bulan lalu, Sam berkata perspektifnya terhadap kehidupan berbeza.

“Dulu kalau tengok anak orang memanjat ke lasak ke, saya tak faham kenapa ibu bapa mereka tidak membendung perbuatan itu. Tapi bila saya ada anak, saya lebih faham.

“Cara saya pandang mereka juga berbeza dari dulu,” ujarnya.

Sam berkata, dia juga bertuah apabila isterinya, Syatilla Melvin memilih untuk berehat daripada lakonan buat seketika dan memberi tumpuan kepada anak mereka.

“Saya tidak pernah halang Syatilla berhenti berlakon dan dia sendiri ada kembali berlakon baru-baru ini. Tapi dia rasa tidak betah meninggalkan anak. Saya pun lebih lega bila dia pilih untuk jaga anak. Saya boleh bekerja dengan tenang,” akhirinya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.