Memang Ada Buaya…

PORT DICKSON – Gambar seekor anak buaya di tepi Sungai Menyala di laluan pintas Kampung Sawah Sunggala ke Taman Intan Perdana tular di laman sosial sejak hujung minggu lalu.

Ketua Kampung Sawah Sunggala, Abd Shukor Sharif berkata, pihaknya tidak menafikan akan kehadiran haiwan itu di sungai berkenaan.

Menurutnya, memang ada buaya di sungai tersebut sejak dahulu lagi, orang yang melakukan kerja-kerja pembersihan di situ pernah melihat kehadiran haiwan berkenaan.

“Tapi dia (buaya) tu tak pernah kacau orang, sejak jalan pintas ini (Kampung Sawah Sunggala ke Taman Intan Perdana) siap dibina hampir tiga tahun lalu. Maka ramai yang menggunakannya dan ‘bertuah’ sebab boleh nampak buaya tu.

“Jalan ni memang berjajaran dengan Sungai Menyala,” katanya, lapor Sinar.

Abd Shukor berkata, pihaknya melihat perkara ini sebagai satu yang positif.

“Ia boleh jadi daya tarikan pelancongan di kampung ini, jika sebelum ni kalau nak lihat buaya perlu ke Sungai Linggi dan naik bot.

“Tapi sekarang, dengan kemudahan jalan yang selesa, orang ramai dah boleh lihat buaya di Sungai Menyala ini saja.

“Tapi buaya ini bukanlah sentiasa ada dan jumlahnya juga mungkin sekadar seekor atau dua sahaja, berbanding di Sungai Linggi yang memang habitatnya,” katanya.

Ujarnya, mungkin buaya yang dilihat di Sungai Menyala ini juga berasal dari Sungai Linggi.

“Mungkin buaya ini masuk ke sini (Sungai Menyala) melalui muara dua sungai ini.

“Selepas gambar buaya ni tular, ada juga orang ramai yang melalui kawasan ni dengan harapan boleh lihat buaya berjemur.

“Cuma nasihat saya terutamanya kepada kaki pancing, sentiasa berhati-hati bukan saja terhadap buaya tapi kepada kemungkinan bahaya seperti ular dan haiwan berbisa lainnya” katanya.

Tambahnya, Sungai Menyala mempunyai jadual berkala untuk diselenggara pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian banjir, menjadikan keadaan sungai itu sentiasa bersih dan menarik minat kaki pancing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.