Keputusan Adun Anak Bukit Sertai PPBM Tidak Beri Kesan Pada PAS Kedah

Keputusan yang diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah untuk menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) semalam, sememangnya telah dijangkakan oleh PAS Kedah.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Amiruddin sebelum ini pun sudah menunjukkan sikap beliau yang tidak selaras dengan keputusan parti.

Malah baru-baru ini juga, Amiruddin gagal hadir ke program anjuran PAS terutama Muktamar Tahunan PAS Pusat yang diadakan di Alor Setar pada Mei lalu.

Apa pun kata Dr. Ahmad Fakhruddin, tindakan Amiruddin itu tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap parti malahan PAS Kedah tetap fokus kepada gerak kerja terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin hampir.

“Selain itu, PAS akan terus komited mempertahankan kemenangan di Dun Anak Bukit,” ujar beliau yang dipetik dari portal Harakah Daily.

Dr Ahmad Fakhruddin bagaimanapun mengingatkan Adun Anak Bukit itu berkenaan bai’ah yang dilafazkan atas nama Allah ketika mengisi borang pencalonan mewakili PAS dahulu.

Malah tegasnya, bukan sekali Amiruddin berbaiah, tetapi beberapa kali sejak beliau dipilih menjadi calon PAS sama ada PRU mahupun pilihan raya kecil (PRK).

Manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Azman Ibrahim pula menyatakan baiah dengan nama Allah untuk tidak khianat kepada perjuangan ini tiada tempoh sah kerana ia sampai akhir hayat.

“Tidak ada tarikh expired,” katanya yang memberitahu perjuangan PAS akan diteruskan kerana pemimpin serta ahli boleh datang dan pergi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.