Jodoh? Biarlah Keluarga Carikan

CANTIK, muda dan masih lagi belum berpunya. Dalam mendakap kelebihan yang ada pada dirinya itu, si manis Amira Othman mengaku tidak dapat lari daripada persepsi sesetengah pihak yang barang kali menganggap dia adalah seorang yang mudah didekati kaum lelaki.

Apa lagi, sejak berani menceburi bidang lakonan, penyanyi yang kebelakangan ini sering digandingkan dengan pelakon lelaki berstatus suami orang dalam naskhah drama yang dibintangi tidak menolak pernah ditanya mengenai sejauh mana profesionalnya dia berlakon tanpa sedikit pun wujud perasaan jatuh cinta dengan pasangan di layar.

Pelik kerana ada yang mempertikaikan kredibilitinya, kata Amira walaupun dia masih baru dalam bidang lakonan, ia tidak bermakna dia tidak tahu membezakan soal kerjaya dengan peribadi.

Tidak selesa ada yang cuba mencampur adukkan hal peribadinya dengan kerjaya, penyanyi lagu Hati-Hati ini enggan teralu memikirkan soal jodoh atau cinta meski mungkin dia berpeluang untuk terjebak dalam cinta lokasi sekali gus mudah mencetus kontroversi.

“Janganlah risau saya dipertemukan dengan pasangan pelakon dalam drama yang tak berlebihan-lebihan ‘cintanya’ sampai keluar set.

“Kedua-duanya memberikan komitmen yang professional dan saya percaya, selagi masing-masing berpegang pada prinsip yang sama, benda-benda lain tidak akan terjadi.

“Saya tak nafikan, keserasian itu ada ketika berlakon dan ia perlu ada. Tetapi tidak sampai terbawa-bawa sehingga bercinta di alam nyata,” katanya.

Tahu mungkin ada antara artis lain yang gemar tampil dengan cerita sensasi membikin kontroversi dengan pasangan gandingan dalam drama, Amira bagaimanapun tidak pernah terfikir untuk meraih populariti dengan cara begitu.

Teramat menjaga batas diri, dia mahu orang mengenali variasi bakatnya selain menyanyi dan tentunya bukan dengan cara mudah, mencipta kontroversi murahan.

“Pokok pangkal kita sebagai artis kena pandai bawa diri. Saya tidak bermaksud berkata begini kerana merasakan diri sudah bagus, tetapi saya mahu mengelak perkara yang tidak diingini.

“Bayangkan, saya ni orangnya kuat cemburu. Kalau saya bercinta dengan pasangan pelakon dalam drama, apatah lagi suami orang, tak akanlah saya tak faham perasaan wanita?

“Mana-mana perempuan memang beremosi. Jadi saya selagi boleh mahu menjaga hati banyak pihak. Dah habis kerja, maka semuanya tamat,” tambahnya lagi.

Teka-teki

Mengaku dirina belum ada yang berpunya selepas gagal mempertahankan hubungan cintanya dengan bekas anggota kumpulan duo popular, Azhael, Azhar, wanita ini enggan terlalu memaksa dirinya untuk jatuh cinta dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

Menyifatkan dirinya belum bersedia untuk berkongsi hati, Amira menyatakan hasrat secara rambang, barangkali cuma mahu bercinta pada tahun depan.

“Itu pun kalau jumpa, kenal orang tu dan kalau boleh terus kahwin. Saya nak cuba buka hati untuk lelaki ketika saya sudah menjengah usia 25 tahun, usia yang matang.

“Kalaulah tak jumpa juga, solusinya mungkin saya akan cakap pada ibu dan ayah supaya biar mereka sahajalah yang carikan jodoh buat saya.

“Rasanya keluarga lebih tahu saya ni macam mana orangnya dan lelaki jenis apa yang sesuai jadi pasangan. Saya? Okey sahaja,” katanya sempat berseloroh.

Tambah ilmu

Dalam pada itu, kata kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini lagi, sasarannya buat masa ini adalah terus memperbaiki kelemahan diri sebagai seorang pelakon dan ia dibuktikan menerusi inisiatifnya mengikuti kelas lakonan bersama pelakon senior, Que Haidar.

Kurang lebih dua bulan mendapatkan khidmat dan ilmu daripada Que, Amira yang masih merasakan dirinya masih hijau bagaimanapun tidak menolak sangat terharu menerima pujian daripada peminat yang menonton drama berudul Red Velvet baru-baru ini.

Mengaku sudah lama merancang untuk mengikuti kelas lakonan, dia sedar sebagai seorang anak seni, usaha tidak sepatutnya terhenti di satu tahap dan pencarian ilmu adalah sepatutnya diamalkan bagi memantapkan kemahiran diri.

“Saya anggap diri ini sangat ‘fragile’, masih rapuh dalam seni lakon. Sebab itulah saya cuba memperbaiki diri.Kalau tahu asas lakonan sahaja pun, ia masih belum mencukupi.

“Sebab itu saya tak malu untuk mencari ilmu dan kalau kena tegur dengan pelakon senior seperti Que, tegurlah, saya tak akan berkecil hati kerana tahu semua itu adalah usaha untuk membentuk saya sebagai seorang pelakon yang lebih bermutu,” katanya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.