Baiah PAS: Jatuhkah Talak Isteri Kepada Adun Anak Bukit?

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam telah mencetuskan persoalan mengenai status perkahwinannya dengan isterinya.

Ini kerana dalam PAS, semua wakil rakyatnya sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, perlu melakukan baiah oleh kepimpinan parti, yang mana perkahwinan mereka akan jatuh talak jika mereka meninggalkan PAS.

Berdasarkan baiah ini, bagaimana pula dengan perkahwinan Amiruddin kerana beliau telah mengangkat baiah ketika dilantik sebagai wakil rakyat.

Malah, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri telah mengingatkan Amiruddin mengenai baiah itu.

“Secara peribadi saya terkejut dengan tindakan beliau…(tetapi) PAS menghormati keputusannya.

“Namun beliau masih mempunyai beberapa tanggungjawab dalam baiah yang beliau lafazkan,” katanya kepada sebuah portal.

Amiruddin yang juga ketua pembangkang DUN Kedah pada sidang media bersama Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pimpinan parti itu semalam mengumumkan penyertaannya ke PPBM secara rasmi.

Beliau merupakan pengganti Allahyarham Datuk Fadzil Noor di DUN itu, selepas menang pada pilihan raya kecil 2002 susulan kematian bekas presiden PAS itu.

Isu baiah bukan perkara baru dalam PAS malah pernah dibangkitkan sebelum ini selepas Datuk Husam Musa meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Ia dikatakan sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan malah Naib Presiden PAS, Idris Ahmad ketika memberikan peringatan itu pada Mac lalu pernah meminta wakil rakyatnya mengambil serius bai’ah “talak” yang dibuat ketika bertanding pilihan raya.

“Saya takut dengan bai’ah, kamu pernah dengar bai’ah tu? Memang menggerunkan saya. Bagi saya bukan soal talak, cerai. Soal bercerai bukan benda biaasa tapi yang paling takut antara kita dengan Allah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.