Ekspo Negaraku Destinasi Pilihan Ibu Bapa Sempena Cuti Sekolah

KUALA LUMPUR – Mengambil kesempatan tempoh cuti sekolah yang baru bermula, para ibu bapa dari dekat dan jauh mula membawa anak-anak mereka ke Ekspo Negaraku yang sedang berlangsung di Dataran Merdeka.

Biarpun hujan, namun itu tidak menghalang ibu bapa daripada terus membanjiri dataran untuk melihat sendiri apa yang ditawarkan ekspo ini.

Seorang pengunjung dari Tanjung Malim, Perak, Ahmad Rosli Muhamad, 48 tahun berkata, peluang cuti sekolah ini diambil sebaik mungkin untuk membawa empat anaknya meneroka ekspo yang julung kali diadakan itu.

Ia bagi memberikan pendedahan umum kepada anak-anak beliau mengenai hala tuju dan pembangunan negara pada masa akan datang.

“Puas hati sebab dapat bawa anak-anak saya ke sini. Apa yang saya nampak ekspo ini lebih kepada perancangan pembangunan Malaysia di masa akan datang. Memang banyak perubahan yang telah kita alami,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Bagi pelajar Sekolah Rendah Tanjung Malim, Ahmad Amirul Hafiz Che Soh, 10, beliau teruja dengan apa yang ditawarkan dalam ekspo ini.

Ujarnya, keterujaan itu memberikan beliau peluang untuk bersama-sama rakan-rakannya merasai perkembangan infrastruktur yang semakin rancak di negara ini.

“Ekspo ini seronok sangat. Ada macam-macam untuk saya dan rakan-rakan lihat.

“Paling saya suka adalah di kubah lima yang memaparkan perdana menteri dalam bentuk hologram. Kalau boleh esok pun saya nak datang lagi,” katanya.

Bapa kepada dua anak, R. Subramaniam, 40, pula mencadangan supaya ekspo seumpama itu diteruskan sepanjang cuti sekolah kerana ia akan memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk datang dan merasai pengalaman menarik.

“Apa yang dipaparkan di sini memang cantik dan menarik. Lain daripada yang lain. Ahad adalah masa yang sesuai untuk saya bawa anak saya ke ekspo ini.

“Ekspo ini memang bagus untuk bawa anak-anak mereka. Saya pun tidak pernah lihat benda-benda yang dipamerkan disini. Dengan pertunjukan grafik dan video yang menarik.

“Saya harap ekspo ini diteruskan sepanjang cuti persekolahan,” demikian menurut akauntan yang bekerja di sebuah bank di ibu negara.

Selain tarikan lima buah kubah di ekspo Negaraku ini, orang ramai berpeluang memandu kereta api terpantas dunia dengan kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.

“Kebetulan sekarang cuti sekolah dah bermula, semua yang diadakan di sini amat bagus untuk anak-anak saya.

“Saya nampak banyak perubahan yang direncanakan untuk masa depan anak-anak kita. Lagipun saya rasa kanak-kanak ini harus diperkenalkan dengan perkara-perkara seperti ini bagi membolehkan mereka tahu masa depan yang akan mereka warisi,” kata Asmawati Maridon, 62 tahun yang membawa anak dan cucu beliau ke ekspo ini.

Ekspo Negaraku 2017 selama sebulan ini merupakan pame­ran infrastruktur terbesar yang memaparkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera untuk rakyat. – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.