Borang Palsu Mohon Mykad Ikrar Undi BN, Ejaan Pun Salah!

Timbalan Perdana Menteri semalam memberi bayangan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bakal diadakan selepas Tahun Baru Cina tahun depan, namun sebelum perkara itu diungkapkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di laman sosial pula kecoh mengenai ‘ikrar’ pemohon MyKad kononnya wajib mengundi Barisan Nasional (BN).

Ikrar yang tertera pada ‘Borang Permohonan Khas Kad Pengenalan’ didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan lafaz janji pemohon untuk mengundi BN pada pilihan raya akan datang, dan sekiranya ingkar, kad pengenalan pemohon secara automatik akan dibatalkan.

Borang tersebut juga tertera logo JPN dan beberapa maklumat peribadi yang perlu diisi oleh pemohon.

Penularan borang tersebut menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, yang menyifatkan perbuatan tersebut adalah angkara individu tidak bertanggungjawab.

“Ini permainan orang tak bertanggungjawab,” balas Bung Moktar kepada seorang pengikut di laman Twitternya.

JPN juga menerusi laman Facebook rasmi mereka semalam mengesahkan bahawa borang yang tersebar adalah palsu.

“Dimaklumkan bahawa dokumen yang disebar seperti di bawah adalah PALSU dan dokumen tersebut TIDAK dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” demikian kata JPN.

Jika dilihat secara teliti, borang itu sah-sah palsu kerana terdapat beberapa kesalahan ejaan melibatkan ejaan bagi perkataan “temapt’ (tempat) dan “inkar” (ingkar), yang mana kebarangkalian untuk berlaku kesalahan ejaan terhadap borang rasmi yang dikeluarkan agensi kerajaan adalah sangat tipis.

Malah, ini bukan kali pertama fitnah sebegini dilemparkan terhadap kerajaan – menuduh memberi kerakyatan kepada warga asing bagi tujuan pilihan raya – dan lebih mengejutkan, maklumat palsu itu dijadikan ‘senjata’ oleh pihak pembangkang untuk tujuan meraih undi rakyat.

Penganalisis politik, Lim Sian See dalam kemaskini di laman Facebooknya menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Teratai) Tiew Way Keng susulan penyebaran borang palsu tersebut.

“Kita semua tahu bahawa borang ini adalah palsu, tapi nampaknya seperti YB Tiew tidak pedulikannya – asalkan pengundinya tertipu dan terpedaya.

“Seseorang perlu membuat laporan polis terhadapnya. (Sebagai) Adun, (mereka) tidak boleh menjadi seorang yang tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan maklumat palsu kononnya ia “borang” kerajaan,” demikian menurutnya pada Ahad.

Bagaimanapun, semakan di laman Facebook Tiew mendapati kemaskini tersebut sudah dipadam dientrinya.

Susulan insiden tersebut, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat palsu di laman sosial, yang jelas digunakan disalahkan gunakan oleh pihak pembangkang untuk memburukkan imej kerajaan.  – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.