Akim & The Majistret Bakal Gegar Kota Singa

KUALA LUMPUR: Buat julung kali, kumpulan Akim & Majistret bakal mengadakan konsert di Singapura bagi menghiburkan peminat di seberang tambak.

Konsert yang akan berlangsung di Esplanade pada 26 Januari depan itu bakal menyaksikan kumpulan berkenaan mendendangkan 18 lagu termasuk Mewangi, Potret, Obses dan Lagu Untuk Laila.

Pengasas Adi Media Pte Ltd yang juga penganjur persembahan, Nur Dian Mohamad Rashid, berkata konsert terbabit ialah hadiah kepada peminat di Kota Singa selepas persembahan akustik mereka pada Celeb-Fest Singapore 2017.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Singapura yang tidak jemu-jemu menyokong kumpulan terbabit,” katanya.

Penganjur juga yakin kumpulan popular yang pernah memenangi anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-30 itu mampu menarik peminat menghangatkan konsert mereka, termasuk dari Malaysia.

“Pada Ramadan lalu, mereka datang ke Singapura bagi mengadakan persembahan di Celeb-Fest Singapore 2017 anjuran kami. Walaupun sekadar mempersembahkan dua lagu secara akustik, peminat yang hadir cukup ramai. Jadi, saya yakin peminat memang menunggu kehadiran mereka ke Singapura,” katanya.

Menurut Nur Dian lagi, peminat juga akan berpeluang bertemu dan beramah-mesra dengan anggota kumpulan terbabit sekiranya mereka mendapatkan tiket kategori 1.

Tiket menyaksikan konsert Akim & The Majistret – Live in Singapore 2017 dijual pada harga antara RM200 hingga RM450 sejak 16 November lalu. Mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat, ia masih boleh didapati dengan melayari www.apactix.com.

Sementara itu, vokalis kumpulan terbabit, Akim, mengaku cukup teruja apabila diberi peluang mengadakan konsert pertama mereka di negara berkenaan.

“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan yakin peminat di Singapura takkan kecewa dengan konsert kami nanti,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.