Negara Maju Pun Ada Lebih Dari Satu Pakatan Pembangkang, Kata Azmin

PETALING JAYA – PKR menyifatkan kewujudan dua pakatan pembangkang di negara ini, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan bukan perkara baharu kerana ia turut berlaku di beberapa negara maju lain.

 

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin berkata, perkara yang penting ialah matlamat masing-masing kekal melawan Umno-BN.

 

“Yang penting kita mahu menjamin satu lawan satu dengan Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi, saya fikir kita boleh bincangkan secara bersama walaupun dalam dua platform yang berbeza.

 

“Perkara ini berlaku walau di negara-negara maju. Kalau lihat di Jerman atau negara-negara Eropah, mereka ada set pakatan yang berbeza fahaman…Pusat lain, negeri lain. Yang penting, kita ada agenda yang sama iaitu menjatuhkan Umno-BN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau yakin Pas mampu berfungsi secara efektif sebagai pembangkang meskipun parti Islam itu tidak berada dalam sekutu Pakatan Harapan.

 

Menurutnya lagi, pertimbangan politik dan strategi harus diatur bagi mencari mekanisme sesuai untuk memastikan hasrat itu dicapai.

 

“Tapi saya yakin, kita telah bekerja bersama-sama lama, berdepan banyak cabaran dan isu sebelum ini, tapi kita berjaya selesaikan semuanya melalui kerangka kerja Pakatan Rakyat dan sekarang insya-ALLAH Pakatan Harapan dan juga kerjasama dengan Pas,” katanya.

 

Akui wujud isu-isu yang merentasi kerjasama mereka, namun beliau optimis dan percaya dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin parti pembangkang.

 

“Kami mungkin ada perbezaan tapi kami selalu hormati rakan kami. Kami cuba untuk bekerja bersama-sama atas dasar dan program bersama.

 

“Kami telah menunjukkan hasil dalam dua pilihan raya sebelum ini. Jadi, dalam krisis ini, kita mesti mengetepikan perbezaan itu dan bekerja bersama untuk berdepan Umno-BN,” katanya.‎ – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.