Jiran Dengar Jeritan Wanita, Tapi Polis Jumpa Labah-Labah

SYDNEY — Polis gagal menemui wanita mangsa dera yang dilaporkan di rumah seorang lelaki di sini, sebaliknya korban keganasan rumah tangga itu seekor labah-labah besar yang berbisa.

 

Semuanya gara-gara jeritan lelaki 30-an itu “aku akan bunuh kau” di awal pagi di kediamannya di Wollstonecraft pada Sabtu lalu, lapor AFP hari ini.

 

Jiran-jirannya menghubungi polis apabila mendengar jeritan tersebut dan suasana kecoh, termasuk “suara wanita,” menjelang 2 pagi.

 

Beberapa kereta pihak berkuasa itu berkejar ke tempat kejadian, kata polis tempatan di Facebook.

 

Apabila pintu rumah dibuka, polis tempatan Harbourside segera bertanya di manakah kekasih atau isteri yang dikatakan mangsa dera tersebut.

 

Lelaki yang merah padam itu berkata “Umm, saya tiada teman wanita.”

 

Apabila polis memberitahunya mereka menerima aduan berlaku keganasan rumah tangga dan suara jeritan wanita, lelaki itu berkata “saya tidak faham maksud awak, saya tinggal sendirian.”

 

Ditekan lagi untuk menjelaskan kenapa wujud ancaman untuk membunuh, lelaki itu dilaporkan malu-malu ketika menjelaskannya dan malah memohon maaf.

 

“Ia seekor labah-labah, yang sangat besar!!” katanya, sambil menambah beliau bertungkus-lumus mengejar binatang berbisa itu di serata ceruk rumah untuk membunuhnya menggunakan racun semburan.

 

Ditanya suara jeritan wanita pula, beliau menjawab: “maaflah, sebenarnya itu suara saya sendiri, saya memang benci labah-labah.”

 

Pihak berkuasa tidak pasti jenis labah-labah besar itu tetapi ia memang telah mati ketika mereka sampai. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.