Ronaldo bantu Madrid raih rekod kemenangan

BASEL, Switzerland – Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-71 Liga Juara-Juara ketika Real Madrid menyamakan rekod kemenangan ke-15 berturut-turut dengan mengalahkan FC Basel 1-0 di Switzerland dalam saingan elit Eropah awal pagi tadi.

Bintang Portugal itu menyempurnakan gol hasil hantaran Karim Benzema 10 minit sebelum rehat di St Jakob-Park ketika juara bertahan Eropah itu yang sudah pun layak ke peringkat kalah mati, memastikan tempat teratas Kumpulan B dengan kemenangan kelima dalam lima perlawanan.

Jaringan itu membolehkan Ronaldo menyamai rekod bekas penyerang Madrid, Raul sebagai penjaring kedua terbanyak, tiga gol di belakang Lionel Messi, yang memecah rekod itu dengan hatrik untuk Barcelona ketika menentang APOEL awal pagi semalam.

Gol Ronaldo juga memastikan kemenangan ke-15 berturut-turut dalam semua saingan yang dimulakan dengan kemenangan 5-1 ke atas Basel di Santiago Bernabeu pada September lalu.

Pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu menyamai rekod yang dibuat pasukan Miguel Munoz pada 1960-61 dan diikuti tiga musim lalu oleh pasukan Jose Mourinho.

“Kami bermain pada tahap biasa, kami bertahan dengan baik, terus memberi tumpuan dan akhirnya apa yang penting ialah kemenangan ini,” katanya.

-BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.