Remaja Mati Selepas Seminggu Dibakar Kerana Pertahankan Maruah

India – Seorang remaja perempuan di utara India mati seminggu selepas sekumpulan lelaki membakarnya sebagai hukuman kerana melawan ketika mereka mahu mencabulnya.

Kejadian zalim itu yang terbaru di India di mana serangan seks terhadap wanita tetap berlaku hampir setiap hari walaupun mendapat kecaman dunia selepas kematian seorang pelajar yang dirogol beramai-ramai pada 2012.

Dalam kes terbaru berkenaan, polis menahan empat lelaki berhubung kejadian seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang diserang selepas meninggalkan rumahnya di Uttar Pradesh pada 16 November lalu.

Menurut keluarga mangsa, enam lelaki mengheretnya masuk semula ke rumah selepas dia marah apabila mereka menunjukkan isyarat lucah dan cuba menyentuhnya.

Jurucakap polis tempatan RK Sahu berkata, lelaki terbabit kemudian menyimbah minyak tanah untuk menghukumnya.

Gadis itu dibawa ke hospital berhampiran namun mati akibat kecederaan dialami pada malam Isnin lalu.

“Empat suspek sudah ditahan dan mereka semua orang kampung dan sama kasta dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis masih memburu dua lagi suspek. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.