Pimpinan UMNO Disaran Beri Ruang Kepada Generasi Muda

Kuala Lumpur – Pimpinan tertinggi UMNO disarankan lebih memberi ruang luas kepada generasi muda yang berpotensi untuk berada dalam saf kepimpinan agar misi meremajakan parti Melayu terbesar itu dapat dilaksanakan.

Pemuda Cawangan Lembah Pantai, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, berkata pemimpin UMNO kini perlu bijak menyelami jiwa belia dalam usaha menarik golongan tersebut untuk menyatakan sokongan kepada UMNO.

Malah, pendekatan yang digunakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disifatkan sebagai cara paling berkesan yang boleh menarik golongan muda sertai UMNO.

“Golongan muda harus menghormati barisan kepimpinan UMNO yang lama selaku pemimpin dan pada masa yang sama, pemimpin tertinggi harus membuka ruang kepada golongan belia seperti muda yang dilihat mempunyai potensi.

“Seperti Khairy, beliau dilihat betul-betul menjiwai golongan muda. Beliau bukan setakat turun padang tetapi turut serta dalam program membabitkan golongan muda amnya,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Qobin yang menyertai UMNO sejak 2009 bersetuju saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar pemimpin UMNO perlu mempunyai pendekatan 2K merujuk kepada pengetahuan (knowledge) dan kemahiran dalam menarik kembali sokongan masyarakat bandar serta golongan belia.

Najib yang juga presiden UMNO baru-baru ini berkata, sangat penting setiap pemimpin dalam parti itu mempunyai pendekatan sedemikian memandangkan masyarakat bandar merupakan golongan yang terdidik dan mempunyai pengetahuan tinggi dalam pelbagai isu.

Tambah Qobin, kerajaan perlu lebih rasional dalam mengeluarkan kata-kata atau janji agar ia tidak dilihat sebagai retorik semata-mata.

“Kalau boleh, biarlah segala perancangan yang disampaikan kerajaan dapat ditunaikan dan bukannya dilihat sebagai janji retorik.

“Meskipun perkara itu kecil (menggotakan janji) tetapi sekurangnya golongan pemuda percaya bahawa pemimpin sekarang boleh membina negara,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat pula berkata, pemimpin UMNO perlu peka dengan isu hangat masa kini yang lebih menjadi perhatian kepada golongan muda.

Katanya, beberapa isu pokok dalam kepimpinan seperti integriti, ketelusan dan kebolehan UMNO perlu dibuktikan serta dipertahankan untuk memastikan golongan muda ‘celik mata’ dengan kewibawaan parti itu.

“Sebagai contoh, orang suka kepada pembangkang bukan kerana mereka terlalu menyukai parti itu, tetapi mereka (golongan muda) melihat parti tersebut bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan integriti.

“Jadi, sekiranya kita dalam UMNO juga bersungguh-sungguh memperjuangkan integriti dalam memastikan pemimpin kita dilihat penuh berwibawa, amanah, jujur dan telus, maka saya percaya orang muda akan berpusu-pusu menyokong UMNO,” katanya kepadaMalaysian Digest, baru-baru ini.

Khairul Anwar yang juga presiden Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) menambah, barisan kepimpinan UMNO perlu memfokuskan hala tuju sebenar yang berteraskan Islam.

“Pemimpin UMNO perlu menentukan hala tuju yang jelas dan jika kita kembali kepada hala tuju sebenar, maka akan wujud satu harapan yang realistik dalam kalangan orang muda terhadap parti,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 semalam juga menyatakan tujuh langkah pembaharuan perlu dilaksanakan UMNO dengan segera.

Katanya, menerusi pelaksanaan langkah tersebut, lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujah disamping teguh daya rohani mampu dilahirkan sebagai kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.