Penganalisis Saran Umno Tubuh Sayap Ekonomi

Oleh: Mohd Khairi Idham Amran

Kuala Lumpur – Seorang penganalisis ekonomi menyarankan Umno menubuhkan sayap ekonomi yang dijangka berupaya menarik kumpulan profesional menyertai parti terbesar orang Melayu itu.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata sayap itu boleh bertindak sebagai ‘ejen risikan’ yang bergerak di akar umbi untuk mengumpul maklumat status ekonomi orang Melayu.

“Daripada maklumat yang dikumpul itu, kerajaan boleh memberi lebih tumpuan kepada agensi bumiputera terutamanya enam yang paling penting iaitu Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera), Ekuinas (Ekuiti Nasional Bhd), Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Mara (Majlis Amanah Rakyat),” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Beliau berkata kewujudan sayap keempat itu juga boleh mencipta kluster ekonomi Melayu, membangunkan modal insan dan membantu menyelesaikan permasalahan orang Melayu.

Dari segi usahawan pula katanya, masalah utama ialah struktur kerana rantaian bekalan tidak dikawal oleh orang Melayu.

“Sayap ekonomi Umno akan berperanan untuk memperkasa rantaian, (sekarang) kita bergantung kepada bukan bumiputera… Peranan sayap ekonomi Umno memperkasa rantaian bekalan, pendidikan, kemahiran dan pengetahuan keusahawanan orang melayu dan bumiputera,” kata beliau.

Nazri Khan turut menggesa Umno mencari kaedah lebih kreatif dalam menyelesaikan dilema ekonomi orang Melayu selain lebih berfokus.

“Umno selama ini memberi perhatian terhadap aspek lebih luas dan tidak spesifik. Kita harap (perhimpunan) kali ini akan lebih bertumpu kerana bumiputera menghadapi banyak cabaran dalam ekonomi,” katanya yang turut berharap parti itu memberi ruang lebih luas kepada pemimpin pelapis untuk bersuara.

Perhimpunan Agung Umno 2014 yang bermula 25 Nov lalu dan berakhir Sabtu ini menghimpunkan 5,739 perwakilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.