Pemimpin Yang Ragui Hadi Boleh Bertanding Jawatan Berkenaan – Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur – Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad berkata mana-mana pimpinan parti yang meragui kredibiliti Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden boleh bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan akan datang.
Jelas beliau, perlembagaan parti itu tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding sekiranya memperoleh sekurang-kurangnya pencalonan dua daripada kawasan.
Namun katanya, penentuan jawatan tertinggi itu akan diputuskan perwakilan PAS yang memahami dasar dan perjuangan parti.
“Nak cabar sesiapa boleh cabar, ada dua pencalonan daripada kawasan boleh cabarlah.
“Kita parti politik yang terbuka, sesiapa boleh cabar kalau rasa padanlah,” katanya kepada Antarapos.
Ditanya sekiranya berkeyakinan Abdul Hadi tidak akan dicabar, Kamaruzzaman berkata perkara itu ditentukan oleh PAS kawasan.
“Itu terserah kepada kawasan, saya tak boleh nak komen,” katanya.
Beliau mengulas berkenaan dakwaan wujud usaha pihak dalaman parti itu dan komponen Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Abdul Hadi sebagai Presiden PAS sejak tercetusnya konflik jawatan Menteri Besar Selangor.
Ia kemudian disusuli dengan kritikan terbuka daripada pimpinan Pakatan terutamanya DAP yang menggesa Abdul Hadi berundur daripada terus mengemudi PAS.
Tindakan pimpinan Pakatan yang mengeluarkan kenyataan dan kritikan secara terbuka itu juga dilihat akan mengeruhkan lagi kerjasama dalam perikatan itu.
Biar takdir tentukan masa depan PAS
Tambah Kamaruzzaman, walaupun wujud sebarang percanggahan pendapat, perkara tersebut seharusnya diperbincangkan secara dalaman dan bukan diluahkan kepada umum.
“Ini seolah-olah satu usaha untuk menekan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat tapi tak mengapa, kita tunggu dan lihatlah.
“Sebab isunya adalah isu yang sangat remeh dan saya rasa ahli PAS matang untuk melihat…sekarang ini umum melihat siapa yang tidak matang,” katanya.
Tambah beliau, PAS akan tetap bersama Pakatan seperti mana diputuskan dalam muktamar tahunan parti itu sebelum ini.
“Jadi kita lihat macam mana tapi insya-Allah sebab macam yang kita sebut dalam muktamar bahawa kita akan tetap bersama Pakatan Rakyat selagi mana hukum mengharuskan untuk PAS bersama dengan Pakatan Rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Abdul Hadi mula mengambil tampuk kepimpinan  sejak 2002menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor selepas 41 tahun melibatkan diri dalam arena politik.
Abdul Hadi adalah Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang, pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.