Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kematian Pasangan Warga Emas

Kuala Ketil – Seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sekitar Kuala Ketil semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kematian sepasang suami isteri warga emas di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.
Dalam kejadian antara pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari semalam, Zahari Yahya, 66 dan isterinya Salmah Husin, 61 yang merupakan pesara kerajaan ditemui mati terbaring secara berasingan dalam rumah mereka dengan kesan tetakan di bahagian tengkok dan belakang.
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata suspek ditahan hasil siasatan terhadap anak angkat lelaki mereka yang berusia 24 tahun yang menjumpai mayat mangsa selepas pulang daripada kerja pada pukul 12.20 tengah hari semalam.
“Semalam kita telah ambil keterangan daripada anak angkat mangsa dan hasil daripada itu kita telah menahan seorang suspek yang juga merupakan kenalan kepada anak angkat mangsa.
Mungkin ada suspek lain yang terlibat dan kita masih menyiasat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata polis juga masih menyiasat motif pembunuhan kerana setakat ini pihaknya mendapati tiada barang berharga yang hilang.
“Barang kemas di badan mangsa tidak ada yang hilang tapi dipercayai ada barang kemas dalam simpanan mangsa yang hilang tapi kita belum pasti sama ada ianya hilang sebelum atau masa kejadian.
“Suspek ditahan reman mulai hari ini hingga 2 Dis bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.