Kekeliruan Punca Islam Diperlekeh

Kuala Lumpur – Kekeliruan yang wujud melibatkan beberapa isu menjadi punca agama Islam di negara ini diperlekehkan sehingga masyarakat melihatnya sebagai ancaman masa depan.

Wakil Wanita UMNO Kedah, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, pihak yang jahat dan sengaja menimbulkan kekeliruan itu dengan menjadikan golongan ulama sebagai sasaran utama.

“Apabila ustaz dan ulama telah keliru, orang biasa akan lebih keliru. Jangan bagi rakyat keliru, jabatan dan agensi berwajib mesti cepat bertindak. Jangan sampai berhari-hari baru nak cakap pasal hukum, kita kena cepat.

“Saya bangkitkan perkara ini bukan sahaja kerana isu transgender yang melampau, tetapi juga ketika timbulnya isu asid deoksiribonukliek (DNA) babi dalam produk coklat Cadbury, sehingga ada pihak yang mahu menyamak darah,” katanya dalam ucapan menyokong usul agama pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mashitah berkata, lebih membimbangkan dalam negara sekarang apabila ramai artis diangkat menjadi ustaz dan ustazah ‘ekspres’ sedangkan mereka tidak mempunyai kewibawaan dan ilmu untuk bercakap mengenai soal hukum agama.

Beliau berkata, kumpulan artis yang mempunyai kesedaran untuk berubah dengan mendekati Islam sememangnya dialu-alukan tetapi adakalanya mereka memberi pandangan yang agak menyimpang sehingga menyesatkan masyarakat.

“Itu adalah kekeliruan yang lebih teruk. Sedangkan mereka ini mahu berubah tetapi dalam tempoh yang singkat terus diangkat untuk menjadi pengendali program agama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.