Kawal Konsesi Pembalakan – Tun M

Kuala Lumpur – Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pemberian konsesi balak dikawal sebagai langkah membendung pemusnahan hutan yang kini mencapai tahap menakutkan.

Menurut bekas Perdana Menteri, pembalakan melalui konsesi walaupun sah ia tetap memusnahkan hutan dan mengecilkan kawasan hutan.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan pusat membayar ganti rugi kepada negeri-negeri yang tidak mengeluarkan konsesi atau permit pembalakan.

”Ia mungkin sah tetapi ia juga memusnahkan malah mengecilkan kawasan hutan. Sudah tiba masanya kita mengehadkan pembalakan. Konsesi pembalakan perlu dikawal,” tulis Dr Mahathir dalam entri terbaru blog beliau, chedet.cc.

Menurut beliau, balak daripada hutan boleh diganti dengan balak sumber lain seperti ladang getah dan kelapa sawit serta penanaman buluh secara besar-besaran.

Tambahnya, ”Kita tidak begitu memerlukan balak untuk perumahan terutama kerja rangka. Keluli boleh digunakan berulang kali. Ia tahan lama.”

”Perabot boleh guna kayu getah. Dahan kelapa sawit sesuai untuk menghasilkan papan serpihan (chipboard), sementera buluh boleh ditanam secara besar-besaran untuk diproses sebagai kertas dan lantai malah dinding,” jelas beliau.

Dr Mahathir berkata, balak dan hasil hiliran merupakan sumber pendapatan utama kepada kerajaan negeri-negeri.

Menurutnya, langkah mengawal pengeluaran konsesi balak akan menjejaskan kewangan negeri-negeri yang miskin dan sebab itu beliau mencadangkan, ”Kerajaan Persekutuan perlu membayar ganti rugi kepada kerajaan negeri yang mengurangkan atau menghentikan pengeluaran konsesi.”

Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan juga perlu diberikan suara dalam pengeluaran permit pembalakan, sementara penggunaan tanah untuk aktiviti perindustrian dan perniagaan meningkatkan pendapatan Persekutuan dan cukai korporat.

“Suatu langkah perlu dicari bagi membolehkan negeri-negeri miskin menerima peruntukan yang lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan. Apabila negeri-negeri kurang bergantung kepada konsesi pembalakan, ia lebih berkeinginan mengurangkan, atau menghentikan konsesi pembalakan,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.