Kami ‘Hooligan’.. Mereka Mempunyai Gambar Kami – Penyokong Malaysia

Kuala Lumpur – Kami ‘Hooligan’. Mereka mempunyai gambar kami.

Itu kenyataan salah seorang penyokong bola sepak Malaysia, Ultras Malaya yang dihalang masuk ke Singapura Ahad lepas.

Individu yang enggan dikenali itu mendakwa pihak berkuasa Singapura kemungkinan mengenal pasti mereka menerusi video-video Ultra Malaya di Youtube selain menerusi agensi perisikan negara itu.

Dia turut mendakwa, pegawai imigresen yang memberikan notis larangan masuk itu tidak tahu alasan sebenar mereka dilarang memasuki Singapura.

Pegawai tersebut dikatakan memaklumkan kepada individu tersebut untuk menghubungi ibu pejabat imigresen Singapura bagi mendapat penjelasan.

Dalam kejadian yang berlaku Ahad lepas, beberapa penyokong Ultra Malaya ditahan pihak imigresen Singapura ketika cuba memasuki republik itu menerusi pintu masuk Woodlands.

Dia turut berkongsi notis larangan memasuki Singapura menerusi aplikasi permesejan Facebook kepada Astro Awani dan gambar itu turut tersebar di media sosial.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin antara yang cuba mendapatkan penjelasan mengenai isu ini daripada pihak berkuasa Singapura.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa Singapura mengenai larangan masuk yang dikenakan terhadap beberapa penyokong bola sepak kebangsaan.

Kumpulan penyokong bola sepak Ultras Malaya kemungkinan dilabel sebagai samseng bola sepak oleh pihak berkuasa Singapura.

Ia berikutan penyokong bola sepak dari Malaysia yang didakwa pernah beberapa kali mencetuskan kekecohan di Singapura.

September lalu, seorang penyokong bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dihukum penjara di Singapura akibat tuduhan menimbulkan kekecohan di luar Jalan Stadium Besar pada 20 mei tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.