Dewi Persik Kendurkan Ketegangan, Hiburkan Anggota Pasukan Keselamatan

Batam – Selepas berlaku konflik berdarah antara tentera dan polis tempatan, pasukan elit Briged Mobil (Brimob) mempunyai cara tersendiri mengendurkan ketegangan – dengan mengundang penyanyi dangdut untuk menghiburkan anggota kedua-dua pasukan keselamatan.

Bertempat di Ibu Pejabat Brimob Kepulauan Riau, anggota keselamatan itu dihiburkan dengan nyanyian dan tarian Dewi Persik serta kumpulan Trio Macan pada Sabtu lalu.

Media semalam melaporkan, ratusan anggota pasukan Batalion Tuah Sakti 134, Batalion 10 Polis Marin Satria Bhumi dan pegawai atasan berkumpul pada tengah hari itu untuk menikmati hiburan berkenaan.

Panglima Tentera Indonesia, Jen Gatot Nurmantyio berkata, dia gembira apabila tiada sebarang kekecohan atau perselisihan faham tercetus sepanjang konsert berlangsung.

“Saya gembira. anggota Brimob, marin dan tentera seperti anak-anak saya,” katanya.

Pada 19 November lalu, seorang anggota tentera maut selepas tercetus pergaduhan dengan petugas Brimob.

Kekacauan itu dikatakan berpunca daripada sindir-menyindir beberapa anggota polis dan tentera di sebuah stesen minyak di Riau.

Ekoran perselisihan faham itu, anggota tentera dari Batalion Tuah Sakti 134 menyerbu Ibu Pejabat Brimob Riau.

Brimob adalah unit paling tua dalam pasukan polis Indonesia kerana ditubuhkan sejak 1945.

Unit elit itu juga digelar Kor Beret Biru.

Menurut Gatot, ketegangan minggu lalu menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan pasukan polis dan tentera.

“Justeru saya bertemu dengan pegawai atasan Brimob dan polis setempat untuk mencadangkan supaya anggota kami dipertemukan melalui persembahan kebudayaan kerana bidang itu tidak membezakan seseorang daripada latar belakang mereka,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Riau, Brig Jen Arman Depari berkata, siasatan dalaman mengenai kes itu masih dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.