Shahrizat Tidak Akan Undur Selagi Kuota Wanita Tidak Capai 30%

Kuala Lumpur – Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu para perwakilan bahawa beliau tidak akan berundur dari jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia selagi kuota wanita dalam organisasi kerajaan serta parti tidak mencapai 30 peratus.

Perkara itu katanya, telah dinyatakan oleh beliau sendiri kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau meminta agar diberikan peluang untuk memastikan perjuangan Wanita UMNO untuk seiring dengan lelaki menjadi kenyataan.

“Saya dah tak ada apa-apa lagi, usia saya pun dah semakin meningkat.

“Jangan ada usaha nak jatuhkan saya. Nanti dulu, jangan cuba nak tikam saya dari belakang, depan, atas dan bawah.

“Saya sudah beritahu kepada Presiden yang saya tidak akan berundur selagi kuota 30 peratus untuk wanita berada dalam kerajaan dan organisasi parti ini tidak tercapai,” katanya.

Shahrizat berkata demikian ketika berucap mengulung perbahasan Pergerakan Wanita UMNO di PWTC di sini petang tadi.

Dalam pada itu beliau berkata, Wanita UMNO hari ini bukan lagi sayap, tetapi tulang belakang parti.

Katanya, Wanita UMNO kini tidak lagi wajar dipandang sebagai sayap dalam parti sebaliknya merupakan nadi dan juga tulang belakang dalam perjuangan.

“Saya jumpa Datuk Seri Presiden, nyatakan minta tukar wanita yang sebelum ini dipanggil sayap dijadikan tulang belakang.

“Beliau (Najib) setuju dengan permintaan saya.

“Jadi, kita wanita kena buktikan kita boleh menjadi tulang belakang,” ujarnya.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Lembah Pantai memberitahu, ramai dalam golongan wanita adalah daripada generasi mentaliti kelas pertama.

Beliau turut meminta pucuk pimpinan parti agar tidak khuatir dengan perjalanan Pergerakan Wanita kerana sayap parti itu tahu membawa diri dan UMNO ke jalan yang betul.

“Sebagai ketua, saya rasa seronok melihat wanita semakin kuat dan sanggup berjuang habis-habisan bersama parti.

“Saya akan beritahu kepada Presiden dan Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jangan bimbang dengan Wanita, kita akan bekerja kuat untuk pastikan UMNO kekal memerintah pada PRU 14 dan PRU seterusnya,” tambah beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.