Jika Anwar Berjaya Tarik Sokongan 112 Ahli Parlimen, Apa Pilihan Dr Mahathir?

DALAM politik ada macam-macam kemungkinan. Belum ada kepastian adakah Tun Dr Mahathir benar-benar akan memberikan laluan kepada Dato’ Seri Anwar untuk menggantikannya. Terdapat kemungkinan, Mahathir mengekalkan jawatan Perdana Menteri sehingga mendorong Anwar mencabar kedudukannya.

Tulisan ini bertujuan untuk melihat kemungkinan itu dari sudut Perlembagaan.

Dalam catatan lepas saya menyebut, jika Anwar ingin untuk menyingkir Mahathir, Anwar memerlukan sekurang-kurangnya 112 orang ahli Dewan Rakyat yang benar-benar setia kepadanya. Dia hanya patut buat kalau dia benar-benar yakin. Sebabnya jika gagal, dia akan berpindah kem menjadi pemimpin pembangkang dan harapan untuk menjadi Perdana Menteri hanya tinggal mimpi.

Ada yang bertanya, bagaimana kalau Anwar berjaya mengusahakan Parti Bersatu dikeluarkan dari Pakatan Harapan (PH), adakah dengan sendirinya Mahathir akan tersingkir?

Jawapannya tidak, jawatan PM tidak ditentukan dengan kedudukan gabungan parti. Apa yang penting ialah jumlah sokongan dalam Dewan Rakyat.

Untuk mengekalkan jawatan PM, Mahathir perlu memastikan sentiasa ada sekurang-kurangnya 112 orang ahli Parlimen yang bersamanya. Jumlah ini sama ada dari kalangan ahli Parlimen PH atau dari pembangkang. Jika cukup maka selamat.

Berita berkaitan;

Bagaimana pula kalau Mahathir gagal dapat sokongan 112 orang Ahli Parlimen?

Jika Mahathir gagal dapat sokongan majoriti ahli parlimen, bermakna kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk. Tapi dia tidak perlu tergesa-gesa meletakkan jawatan kerana dia masih lagi Perdana Menteri yang sah. Dalam tempoh ini dia memerintah sebuah kerajaan minoriti (minority government).

Dia boleh terus mentadbir sambil berusaha memujuk Ahli Parlimen yang belum menyokongnya untuk memberikan sokongan kepadanya. Kedudukannya akan selamat selagi mana Anwar belum dapat membuktikan bahawa beliau mendapat mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Situasi ini timbul kerana fasal (4) dalam Perkara 43 perlu dibaca bersama-sama dengan fasal (2)(a).

Perkara 43(4) menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Berita berkaitan;

Perkara 43(2)(a) pula menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Maksudnya, seorang Perdana Menteri tidak wajar meletakkan jawatan di bawah fasal (4) jika belum nampak siapa yang layak dilantik di bawah fasal (2)(a). Pemerintahan negara tidak boleh dibiarkan tempang tanpa Perdana Menteri.

Bila Anwar berjaya buktikan bahawa beliau ada sokongan majoriti, apa yang patut dilakukan oleh Mahathir?

Menurut Perlembagaan, ada dua pilihan. Pertama, meletakkan jawatan. Kedua, memohon kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk pembubaran Parlimen. Jika Mahathir meletakkan jawatan, maka YDPA akan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baharu kerana beliau mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Maka, Anwar boleh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kelapan. Malaysia akan mendapat pemimpin baru. Penantian yang sekian lama berakhir.

Berita berkaitan;

Namun, jika Mahathir memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran dewan, maka terpulang kepada YDPA sama ada berkenan untuk membubarkan Dewan atau tidak. Dalam hal pembubaran Dewan, YDPA mempunyai budibicara untuk tidak bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: (a) melantik seorang Perdana Menteri; (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Jika YDPA berkenan untuk membubarkan dewan, maka satu pilihan raya umum perlu diadakan untuk memberikan peluang kepada rakyat memberikan mandat bagi penubuhan kerajaan yang baharu. Melihat kepada polemik politik semasa ada baiknya untuk memulangkan kembali hak kepada rakyat bagi memilih kerajaan selepas menilai prestasi pentadbiran yang ada kini.

Sama-sama kita doakan agar episod percakaran politik hari ini tidak membawa musibah kepada rakyat dan berakhir dengan natijah yang menguntungkan agama, bangsa dan negara. Amin.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan),
Pensyarah Kanan,
Pusat Polisi Perdana,
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM KL

Nota: Jika Parlimen bubar sebelum tempoh 36 bulan dari tarikh mengangkat sumpah, maka ada menteri dan ahli parlimen yang tidak mendapat pencen. Boleh rujuk Jadual Pertama Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237): 2.(1).

Lain-lain berita;

One thought on “Jika Anwar Berjaya Tarik Sokongan 112 Ahli Parlimen, Apa Pilihan Dr Mahathir?

  • October 28, 2019 at 11:24 am
    Permalink

    Kenyataan khairudin bagaikan penulisan yg banyak mengampu mengaburi mata rakyat dan bukan atas fakta. PEGANG PADA JANJI.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.