Permohonan 3 Parti Sertai BN Akan Diteliti – Zahid

NILAI: Barisan Nasional (BN) akan berbincang dengan parti komponen lain berhubung permintaan Kongress Indian Muslim Malaysia (KIMMA) untuk menjadi parti komponen, dalam penjenamaan semula BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain KIMMA, Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) dan Makkal Sakti yang merupakan parti mesra BN turut membuat permohonan sama.

Perbincangan akan dibuat, termasuklah mempertimbangkan untuk mengubah perlembagaan sekiranya perlu, katanya yang juga presiden Umno.

“Seperti sebelum ini, sebarang keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan majoriti, jadi sama juga dengan permintaan ini, kita akan lihat suara majoriti untuk terima parti-parti yang bersekutu dengan kita. Selain KIMMA, IPF dan Makkal Sakti turut membuat permohonan sama.

“Dalam penjenamaan semula BN, dari segi struktur, kita tidak akan lupakan parti-parti gabungan kita. Saya tidak mahu jadi pemimpin kuku besi, saya akan bincangkan dengan rakan-rakan parti komponen yang lain,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA ke-41 hari ini.

Zahid turut menyifatkan KIMMA sebagai parti gabungan “keras” yang sentiasa bersama Umno tidak kira ketika senang atau susah.

Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, KIMMA menyambut baik jaminan Zahid untuk mengkaji semula status parti itu sebagai ahli gabungan Umno serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada KIMMA secara lebih eksklusif dan inklusif. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.