Pemilihan PKR: Rafizi Terkejut Mampu Atasi Azmin Di Perak

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak menyangka beliau mampu mengatasi pencabarnya, Datuk Seri Azmin Ali dalam pemilihan parti di Perak, hari ini.

Dalam pemilihan di negeri itu, Rafizi mengatasi Azmin dengan majoriti undi 2,341 apabila memperoleh 6,700 undi manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula memperoleh 4,359 undi. 

“Saya cukup terkejut dengan keputusan pemilihan di Perak hari ini, yang memberi lonjakan terbesar dan meletakkan saya di hadapan mengatasi Saudara Azmin Ali.

“Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Perak yang memberi 6,700 (61%) undi kepada saya, berbanding 4,359 (39%) kepada Saudara Azmin. 

“Saya juga menang di 19 dari 24 cabang di Perak, satu keputusan yang paling besar di mana-mana negeri setakat ini,” kata Rafizi menerusi blog beliau.

Rafizi juga mendakwa beliau kini mendahului Azmin di 12 negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

“Dengan 158 cabang dan 12 negeri telah mengundi Semenanjung & Wilayah Persekutuan (kecuali 6 cabang di Selangor yang akan mengundi esok), saya kini mendahului Saudara Azmin sebanyak 995 undi. Ini mengambil kira keputusan di cabang-cabang Negeri Sembilan dan Melaka yang telah dikeluarkan keputusan.

“Ini adalah satu keputusan yang sangat baik mengambil kira saya tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan dan berkempen dalam serba kekurangan. 

“Keputusan dari negeri-negeri (terutamanya Perak) memberi gambaran jelas ada tuntutan dari akar umbi yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan Pusat.

“Saya berharap prestasi ini dapat diteruskan di 6 cabang terakhir di Selangor esok, dan disambung pula di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Rafizi dan Azmin bersaing untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.