Najib Ulangi Derma RM2.6 Bilion Dari Arab Saudi, Kemuka Bukti Transaksi

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaunnya adalah dari Arab Saudi.

Najib turut mengemukakan sekali lagi bukti transaksi derma itu di laman Facebook beliau.

“Cuba semak dokumen-dokumen bank yang pernah saya dedahkan sebelum ini mengenai dana derma yang disalur kepada akaun saya. 

“Adakah ianya ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi ataupun dengan kerabat diraja mereka?,” tulisnya.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pada Jumaat memaklumkan bahawa derma RM2.6 bilion yang diterima Najib tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Kata Saifuddin, beliau dimaklumkan perkara itu oleh Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir yang mengunjunginya di Wisma Putra.

Dalam posting yang berasingan, jelas Najib, Adel pernah dua kali dengan mulut sendiri mengesahkan bahawa negara Arab Saudi yang menderma wang kepadanya.

“Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah mendakwa bahawa hari ini Adel memberitahu dia wang yang disebut RM2.6 bilion tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi.

“Ini ialah hantaran mengenai penjelasan saya bulan lepas di mana saya telah memberi bukti bahawa semua surat-surat dari penderma ialah dari orang yang sama.

“Di hantaran itu, saya turut menunjukkan bukti dokumen-dokumen dari bank yang membuktikan bahawa kebanyakan dana-dana yang disalurkan kepada akaun saya ialah terus dari Kementerian Kewangan Kerajaan Arab Saudi dan dari putera-putera Arab Saudi.

“Hampir semua dari dana yang disebut RM2.6 bilion ini sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkan 4 bulan selepas diterima. Saya pun telah didakwa kerana menerima dana ini dan juga didakwa kerana mengembalikannya,” kata Najib.

Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.

“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” kata Adel seperti dilaporkan pada 2016. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.