Lagi Kes Undi Tiba-Tiba Hilang Dari Sistem E-Undi Pemilihan PKR

ALOR SETAR – Sejumlah 30 peratus undi ahli PKR Kedah didakwa hilang dari sistem pengundian pada proses pemilihan di 10 cabang parti itu di negeri ini, semalam.

Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Nor Hizwan Ahmad, berkata masalah masih berlaku kepada sistem e-undi sehingga menimbulkan kebimbangan ahli, walaupun selepas jaminan ia akan diselesaikan.

Katanya, pemilihan PKR kali ini boleh disifatkan sebagai ‘rumah siap, tetapi pahat masih berbunyi’ berikutan kejadian kehilangan undi yang berlaku pada proses pemilhan.

“Selepas kejadian kehilangan undi di Melaka, kita dapati sebanyak 30 peratus undi ahli PKR Kedah pula hilang dari sistem pengundian.

“Sungguhpun telah diberi jaminan bahawa integriti pengundian pemilihan kali ini masih utuh, kegagalan ini jelas merencatkan proses demokrasi di dalam PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan pemilihan PKR di Kedah semalam, menyaksikan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mendahului Rafizi Ramli selepas masing-masing menerima 1,148 undi dan 1,031 undi.

Azmin dilaporkan menang di enam cabang iaitu Pendang, Jerlun, Kuala Kedah, Padang Terap, Baling dan Sik, manakala Rafizi menang di Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Nor Hizwan berkata, seluruh kepimpinan dan ahli PKR perlu mengakui berlaku masalah pada proses pemilihan parti dan ia tidak boleh dinafikan.

“Kita harus sedar sistem pemilihan yang diguna pada pemilihan kali ini tidak sempurna dan pimpinan PKR juga tidak boleh menyangkal keadaan ini hanya kerana ingin mempertahankan suatu sistem yang lemah.

“Pengurusan pemilihan kali ini perlu dipandang serius semua pihak dan tindakan proaktif perlu diambil segera bagi memastikan PKR tidak dilihat gagal menguruskan sistem pemilihan parti sendiri,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.