Seorang peneroka Felda Wilayah Mempaga, Mansor Hashim berkata, anggaran pendapatan tersebut diperoleh selepas mengambil kira harga sawit ketika ini iaitu purata kira-kira RM400 bagi satu tan metrik.

“Dalam sebulan setiap peneroka dianggarkan dapat menuai kira-kira empat tan hasil kelapa sawit. Selepas ditolak pula dengan pelbagai kos operasi lain seperti baja, racun dan upah memotong buah sawit, peneroka hanya mendapat purata pendapatan bersih sekitar RM900 sahaja.

“Dengan RM900 hendak makan apa? Itu belum lagi pelbagai bil yang mesti diselesaikan. Peneroka di Felda kini betul-betul berada dalam keadaan resah, bagi saya senang sahaja, kerajaan mesti pastikan harga sawit meningkat, selesai semua masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mansor, menambahkan lagi tekanan, pelbagai bantuan dan insentif bagi me­ngurangkan kesan kejatuhan harga sawit tidak lagi diterima oleh peneroka.

“Ketika ini peneroka seperti tidak mempunyai tempat untuk mengadu sedangkan harga sawit terus jatuh. Kebanyakan peneroka merupakan golongan usia emas yang tidak peduli siapa memerintah, cuma mereka mahu harga sawit dinaikkan, itulah sumber pendapatan mereka.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih prihatin terhadap nasib golongan peneroka termasuklah dengan mengembalikan pelbagai bantuan dan insentif yang diterima sebelum ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dihadapi,” katanya.

Menurut Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar pula, selepas kejatuhan harga sawit pendapatan purata diperoleh peneroka setiap bulan adalah di bawah RM1,000.

“Memang tidak cukup, macam saya terpaksa mengharapkan wang simpanan, mujur ada berjimat cermat dahulu. Kalau harap pendapatan sekarang memang tidak cukup, bayar bil elektrik, air dan pinjaman lain, harapkan anak-anak juga untuk membantu serba sedikit.

“Peneroka ketika ini memang resah, tapi tidak boleh hendak buat apa, hendak marah kepada siapa? Jika dahulu bila kea­daan harga sawit jatuh begini ada sedikit bantuan daripada kerajaan, hutang-hutang peneroka se­perti perumahan dan pendidikan dikecualikan dan tidak dipotong, sekarang ni potong habis,” katanya.

Sementara itu, tambah Sulaiman, sebagai peneroka, beliau tidak begitu menaruh harapan besar kepada kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2019 minggu depan, cuma berharap langkah sepatutnya dapat diambil segera bagi menangani kejatuhan harga sawit dan ke­sannya kepada peneroka.

“Saya tidaklah menaruh harapan besar, tapi kalau boleh kerajaan kena tengok dan jenguk Felda, beri bantuan kepada peneroka, jangan diam sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE