Kayuh Basikal 250km Ke Stadium Shah Alam Demi Sokongan Kepada Pasukan

SLIM RIVER – Seorang penyokong fanatik Perak sanggup berbasikal dari rumahnya di Ulu Kinta, Ipoh ke Stadium Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu, malam ini.

Mohd Zamzuri Suaib, 44, berkata dia menggunakan cara tersendiri menunjukkan semangat serta kegembiraan apabila pasukan kesayangannya itu layak ke perlawanan akhir selepas 11 tahun gagal melakukannya.

Katanya, selain itu kayuhan itu juga bagi memberikan tonik lebih kepada pemain pasukan supaya bermain bersungguh-sungguh kerana membawa harapan penyokong Perak di setiap pelusuk negara ini.

“Berbekalkan semangat dan sokongan rakan, saya memulakan kayuhan dari Ulu Kinta (Ipoh) semalam kira-kira jam 7.30 pagi sehingga ke Slim River dan bermalam di pekan itu.

“Hari ini (semalam) saya bertolak dari sini (Slim River) hingga ke Rawang dan bermalam sebelum memulakan perjalanan ke Shah Alam esok pagi.

“Jarak perjalanan saya lalui adalah kira-kira 250 kilometer (km) sehingga sampai ke stadium (Stadium Shah Alam), walaupun kepenatan namun saya tetap bersemangat untuk bersorak demi pasukan tercinta,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Mohd Zamzuri yang berkerja sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkata, kayuhan dilakukannya ini adalah menggunakan modal sendiri tanpa sumbangan daripada mana-mana pihak.

Katanya, kayuhan itu juga sebagai latihan dan persediaan untuknya yang akan membuat kayuhan dari Ho Chi Minh, Vietnam sehingga Thailand membabitkan kayuhan sejauh 1,000km tahun depan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.