Kadir Jasin Dakwa Lebih Ramai Ahli Parlimen UMNO Akan Sertai PPBM

JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A. Kadir Jasin mendakwa kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO akan keluar parti dan menyertai parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Dakwanya, ada antara mereka telah beberapa kali berjumpa Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.

“Posisi dan jawatan mereka dalam UMNO yang berpotensi menyertai PPBM bukanlah sama seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memegang kedudukan penting dalam parti dan kerajaan.

“Ahli Parlimen UMNO tersebut masih berfikir lagi, apa akan berlaku selepas itu (selepas sertai PPBM). Ini kerana ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk siasatan,” katanya dipetik Utusan Online.

Bagaimanapun Kadir berkata, tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai PPBM dan siasatan akan tetap dilakukan sekiranya terlibat dengan sebarang salah laku. 

Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, berkata, hasrat untuk menyertai PPBM tidak seharusnya menjadi langkah untuk mereka menyelamatkan diri kerana semua pihak perlu mematuhi undang-undang.

Tambahnya, PPBM juga tidak menjanjikan jawatan khas kepada mereka.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih ramai ahli politik mahu pun penjawat awam akan disiasat dan didakwa kerana rasuah. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.