‘Hijrah’ Tok Pa Buka Pintu Yang Lain Sertai Bersatu

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemimpin UMNO terutama dalam kalangan Ahli Parlimennya akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mereka berpendapat keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menyertai BERSATU semalam, adalah tindakan yang sudah dijangka selain membuka fasa yang akan mendorong penyertaan lebih ramai pemimpin UMNO ke parti itu.

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata keputusan Mustapha itu dilihat sebagai usaha beliau untuk meneruskan karier politiknya.

“Sudah pasti akan ada yang mengherdik dan mengutuk tindakan Mustapa (sertai BERSATU) tetapi apa yang penting penyertaan beliau dalam BERSATU memberi kelebihan kepadanya untuk terus menyumbang idea dan tenaga kepada kerajaan berdasarkan pengalaman dimilikinya.

“Saya tidak terperanjat akan berlaku fasa penghijrahan pemimpin lain untuk menyertai BERSATU selepas ini,” katanya.

Mustapa menepati jangkaan beberapa pihak sebelum ini apabila hadir ke ibu pejabat BERSATU di Menara Yayasan Selangor, malam tadi untuk menyerahkan borang penyertaan kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyertaan itu dibuat sebulan selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu keluar UMNO walaupun sudah 40 tahun bersama parti berkenaan.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, berpendapat keputusan Mustapa menyertai BERSATU disebabkan tertarik dengan reformasi yang dibawa Dr Mahathir.

“Saya melihat kesediaan Dr Mahathir membuka ruang secara terbuka untuk pemimpin UMNO berhijrah ke BERSATU antara sebab beliau memilih parti berkenaan.

“Mungkin selepas ini ramai yang akan berhijrah ke BERSATU berdasarkan krisis yang berlaku dalam UMNO ketika ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.