Calon Naib Presiden PKR Nafi Rasuah, Dakwa Tuduhan Beli Undi Sebagai Fitnah

IPOH – Calon Naib Presiden PKR, S. Kesavan menafikan dakwaan beliau membeli undi menjelang pemilihan PKR Perak hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata, dakwaan beliau cuba merasuah menerusi cek bernilai RM500 yang dikeluarkan atas nama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Siput tidak benar.

Beliau mengakui memberikan wang RM500 kepada seorang wanita yang datang memohon sumbangan kelmarin namun menegaskan sumbangan itu untuk anak wanita tersebut yang menghidap kanser.

Katanya, pemberian itu atas dasar memberikan bantuan segera malah wanita tersebut mengisi borang permohonan dan menangis ketika menceritakan masalahnya.

“Saya tak sangka niat nak bantu disalah erti dengan dituduh membeli undi. Apabila saya semak, nama wanita itu ada dalam senarai kertas ‘cai’ yang bertanding salah satu jawatan dalam PKR Cabang Sungai Siput.

“Ini salah satu fitnah menjelang pemilihan, saya tak takut dan sedia beri kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak polis untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.