Pembangkang Tidak Tetap Pendirian Isu GST – PM

KUALA LUMPUR – Pembangkang terus dikritik kerana menjadikan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai modal politik kepada penyokong mereka membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 hari ini berkata pelaksanaan cukai tersebut nyata memberi manfaat kepada pembangunan dan ekonomi negara apabila pada tahun ini sahaja Malaysia mencatat kutipan sehingga RM41 bilion.

“Kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.

“Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on zero-rate, dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula.

“Tapi hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu, terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya,” katanya sambut menerima tepukan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Bagi tujuan itu kerajaan membuat dasar tidak mengenakan GST kepada kesemua pembekal perkhidmatan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018, mengikut pilihan PBT.

Malah kerajaan juga mengenakan kadar sifar ke atas kesemua bahan bacaan, mulai 1 Januari depan.

Pelepas GST diberikan kepada operator kapal persiaran ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia, berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020, begitu juga dengan perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat yang dibiayai menerusi sumbangan derma yang diluluskan.

Ia bagaimanapun berkuatkuasa untuk kontrak perkhidmatan yang ditandatangani mulai 1 Julai 2017.

Najib juga mengumumkan pelepasan GST ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di kawasan ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018.

Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan ‘big ticket items’, seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.

Perkara yang sama juga diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung dimana ia bermula 1 Januari 2018.

Mulai 1 Januari depan juga, kerajaan juga tidak akan mengenakan pelaksanaan GST terhadap perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan, diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.