Tiket Final Piala Malaysia 2016 Habis Dijual

TIKET untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 antara Kedah dengan Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini habis dijual semalam termasuk 10,000 keping yang dijual secara atas talian.

 

Kedua-kedua pasukan masing-masing mendapat peruntukan 30,000 keping tiket untuk perlawanan akhir tersebut dan sejak kaunter jualan dibuka semalam, ia habis dijual dalam tempoh satu jam.

 

Semua tiket yang dijual di kaunter jualan di Stadium Darul Aman, Alor Setar dan di kaunter Stadium Shah Alam ‘licin’ dalam tempoh sejam sejak dibuka pada pukul 10 pagi semalam walaupun seorang penyokong hanya dibenarkan untuk membeli tiga keping tiket sahaja.

 

Menariknya, sebahagian penyokong telah mula beratur di hadapan kaunter sejak malam kelmarin bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang untuk mendapat tiket tersebut yang dijual pada harga RM50 untuk dewasa manakala RM5 untuk kanak-kanak.

 

Sepanjang proses jualan itu berlangsung, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dan proses jualan berjalan dengan lancar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP), Kevin Ramalingam menjelaskan, dia bangga kerana proses jualan tiket untuk final Piala Malaysia yang berlangsung serentak di Shah Alam dan Alor setar semalam berjalan dengan sempurna dan teratur.

 

“Saya kagum dengan sikap penyokong kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan ketika proses jualan tiket itu berlangsung. Saya berharap sikap seperti ini dipertahankan sehingga pada perlawanan final di Stadium Shah Alam nanti,” jelas Kevin. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.