Terbukti Rumah Saya Tiada Dadah – Remy Ishak

Pelakon Remy Ishak mendedahkan, dia sudah membuat lapan laporan polis, namun sehingga kini, tiada tindakan susulan daripada pihak terbabit terhadap laporan mengenai tuduhan rumahnya menjadi kegiatan dadah.

 

Remy berkata, pihak polis sudah mengeluarkan kenyatan bahawa serbuan yang dilakukan tidak menemui sebarang bukti yang mendakwa terdapat dadah di rumahnya.

 

“Sudah terbukti rumah saya tiada dadah. Jadi, saya tanya pada pihak polis apa yang boleh dilakukan terhadap individu yang membuat tuduhan palsu itu dan saya diminta membuat laporan polis.

 

“Saya sudah membuat laporan polis tetapi sehingga kini tiada tindakan dan jawapan daripada pihak polis walaupun saya kerap kali bertanya,” katanya, petik Utusan.

 

Menurutnya, dia kesal dengan apa yang berlaku walaupun sudah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan mengikut saluran undang-undang.

 

Buat masa ini, jelas Remy, dia menyerahkan perkara ini kepada peguamnya untuk sebarang tindakan lanjut.

 

Tambahnya, kes ugut bunuh yang dilakukan kepadanya sedang diselesaikan dan diberitahu sudah berada di peringkat akhir.

 

Pada awal bulan September lalu, Remy memberitahu dia diugut bunuh oleh seorang wanita kerana enggan bertemunya.

 

Beberapa minggu selepas itu, rumahnya pula diserbu oleh pihak polis yang mendapat aduan bahawa rumahnya terlibat dengan aktiviti dadah.

 

Dalam pada itu Remy mengakui apa yang berlaku sememangnya mengganggu kerjayanya. Apatah lagi menurutnya, dia adalah seorang selebriti dan dikenali. Sudah pasti apa sahaja yang dikatakan kepadanya membentuk persepsi masyarakat.

 

“Biasalah bila menjadi artis, pasti ramai yang mahu mengambil tahu dan bila ada fitnah yang ditujukan kepada saya, sudah pasti itu membentuk persepsi.

 

“Walaupun saya sebenarnya tidak terlibat dengan dadah, tetapi nama saya sudah buruk dan sebagai artis, itu sesuatu yang tidak sepatutnya dielakkan,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.