KPDNKK Rampas 3,685kg Minyak Masak Disorok Pengedar

MUAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Muar merampas 3,685 kilogram (kg) minyak masak yang dianggarkan bernilai RM9,708, di sebuah rumah kosong di Rawang, Tangkak, dekat sini, semalam.

 

Ketua KPDNKK Muar, Nor Azmi Lamisza, berkata hasil maklumat risikan dan awam, 15 pegawai dan anggota menyerbu rumah terbabit yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan minyak masak.

 

“Pada jam 3.30 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNKK menyerbu sebuah rumah kediaman di Rawang, Tangkak dekat sini.

 

“Ketika serbuan, rumah kosong itu dipercayai dijadikan tempat simpanan dan tempat menyorok minyak masak sejak beberapa hari lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

 

Nor Azmi berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 146 kotak dengan setiap kotak mengandungi 2,920 kg minyak masak, manakala 45 kotak lagi mengandungi 765 kg minyak masak.

 

“Semua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM9,708.90. Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dan kita masih meneruskan siasatan termasuk usaha mengesan suspek,” katanya.

 

Nor Azmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan.

 

Katanya, sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 akta yang sama iaitu denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan individu atau sehingga tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.