Yuran Pengajian Di Universiti Awam Tidak Akan Naik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan, yuran pengajian prasiswazah di universiti awam tidak akan dinaikkan, walaupun tiada peruntukan tambahan diberikan kepada kementerian itu dalam Bajet 2016.

 

“Untuk prasiswazah, kami tidak akan benarkan sebarang kenaikan yuran pengajian untuk universiti-universiti awam,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Intercontinental, hari ini.

 

Kemungkinan yuran pengajian dinaikkan bukan satu-satunya kebimbangan yang dibangkitkan, susulan pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat lalu.

 

Pihak universiti turut bimbang berhubung cara untuk melaksana dan menambah pendapatan, kerana tiada peruntukan tambahan diberikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

 

Mengenai perkara itu, Idris berkata, pihak universiti terlalu bergantung kepada kerajaan dan keadaan itu perlu diatasi.

 

“Kami ada universiti-universiti lama yang 80 peratus bergantung kepada kerajaan dan universiti baru yang 95 peratus mengharapkan kerajaan.

 

“Jadi, senario ini kita perlu masukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang jelas menyatakan kebergantungan itu perlu dikurangkan.

 

“Tujuannya ialah untuk mengurangkan kepada 75 peratus menjelang 2025, kerana kebergantungan sekarang tidak wajar,” katanya.

 

Cadangan Idris adalah supaya universiti awam menggunakan “aset-aset manusia” untuk menjana pendapatan.

 

“Anda boleh mendapatkan wang melalui konsultasi, kajian dan cara-cara lain. Sesetengah universiti membazirkan aset-aset berharga yang mereka miliki.

 

“Kami ada 12,000 profesor di universiti-universiti yang bukan sahaja baik dalam kajian, tetapi juga perundingan.

 

“Mereka boleh jalankan kajian untuk syarikat-syarikat. Dengan itu, universiti juga sedar dengan cara itu. Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan,” kata Idris. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.